NASI lemak yang di masak oleh Puan Fatimah dengan dibantu oleh Ardell Armani selepas subuh tadi masih lagi hangat di atas meja makan. Baunya lembut menyatu dengan aroma sambal bilis dan wangi santan yang memenuhi ruang makan rumah mereka pagi itu.
Puan Fatimah duduk berhadapan anak-anaknya, sambil sesekali memandang wajah Aleya yang perlahan-lahan menyuap nasi, memaksa diri untuk makan walaupun tekaknya terasa berat. Di sisi Aleya, Anis pula rancak bercerita. Suaranya seperti tidak pernah mengenal lelah.
“Ayah, bila nak belikan motor untuk Anis? Penatlah naik basikal buruk tu. Kawan-kawan asyik ketawakan Anis. Mereka cakap ayah tak sayangkan Anis sebab lebihkan Kak Ya,” katanya, nada merajuk disulami rungutan.
Haji Muhammad mengangkat wajah dari pinggan, melepaskan keluhan kecil.
“Anis, bukan ayah tak sayangkan Anis. Tapi duit simpanan yang ada tu ayah dah asingkan untuk belanja perubatan Aleya. Dia kan lebih memerlukan duit tu sekarang. Soal motor tu, kita tangguh dulu, ya.”
“Tapi ayah.. Anis dah janji dengan kawan-kawan,” Anis membentak perlahan, nada kecewanya jelas.
Haji Muhammad berdehem.
“Hmm.. macam ni sajalah. Nanti ayah suruh Ardell belikan motor tu pakai duit dia,” katanya tenang, seolah keputusan itu tidak perlu dibincang panjang.
Suasana meja makan tiba-tiba senyap. Sudu di tangan Aleya terhenti separuh jalan, sementara Anis tersenyum puas hati mendengar keputusan ayahnya. Aleya menoleh perlahan ke arah ayahnya, pandangannya jelas dengan rasa tidak setuju. Dalam hati, dia tahu kakaknya sudah terlalu banyak memikul. Malah lebih daripada yang pernah diminta sesiapa.
Tapi ayah.. ayah seakan tidak nampak semua tu.
“Tapi ayah.. Kak Del dah banyak bantu kita,” suaranya lembut, namun sarat dengan bimbang.
“Betul tu, bang.” sambung Puan Fatimah yang cuba menegur dengan berhati-hati. “Semua belanja rumah, bil, barang dapur, internet, sekolah Anis, ubat-ubat Ya.. semuanya Ardell yang bantu. Basikal Anis pun baru dia beli tahun lepas.”
Haji Muhammad hanya menghela nafas panjang.
“Abang tahu. Tapi dia dah bekerja,kan? Gaji besar, kerja bagus. Sekarang masa dia bantu kita pula. Lagipun Ardell tidak pernah berkira. Betul tak?” katanya cuba menutup bicara. Bagi Haji Muhammad, anak sulung seharusnya menjadi tulang belakang keluarga, seperti dirinya dahulu yang pernah berkorban demi adik-adik.
Puan Fatimah tidak segera membalas. Dia hanya menunduk. Dalam diam, hatinya terasa sayu. Benar, Ardell Armani jarang bersuara tentang penat atau kecewa. Anak itu terlalu pandai menyembunyikan rasa. Namun setiap kali terpandang pandangan sayu dan wajah lesunya, Puan Fatimah tahu anak itu sedang menanggung sesuatu yang berat daripada sekadar keletihan.
Pada saat itu, Ardell Armani muncul dari bilik tiba-tiba berhenti di muka pintu dapur. Kata-kata ayahnya menusuk halus ke dada. Dia terpaku, tidak tahu sama ada mahu masuk atau berpatah balik. Hatinya terasa sesak. Seolah-olah kasih sayang yang pernah diharapkannya kini hanya berbaki tangungjawab.
Melihat kelibat anak sulungnya, Puan Fatimah segera menegur,
“Del, mari makan.. Nasi panas lagi ni.”
Ardell Armani tersenyum hambar.
“Tak apa, mak. Del dah makan tadi lepas masak,” jawabnya perlahan, lalu berpaling pada Aleya. “ Ya, makan banyak sikit, ya.”
Aleya mengangguk perlahan, matanya menangkap sekilas riak wajah kakaknya itu. Tenang di luar, tapi jelas bergelora di dalam. Ardell Armani berundur perlahan ke arah pintu utama rumah. Dia melabuhkan duduknya di sebuah bangku kayu di serambi rumah.
Dia memejamkan mata. Angin pagi menyapa lembut wajahnya, membawa bisik yang menenangkan hati. Sekuat mana pun dia berdiri, tetap ada bahagian diri yang perlahan-lahan retak.
****
Farah merenung Ardell Armani yang sedang duduk di hadapannya. Wajah rakannya itu kelihatan tenang, malah ada senyuman yang cuba disembunyikan di balik menu yang berada di tangannya. Tapi Farah tahu, senyuman itu tidak pernah jujur. Ia cuma topeng, seperti banyak kali sebelum ini.
Ardell Armani bukan jenis yang tiba-tiba mengajaknya keluar pagi-pagi begini kalau tiada sesuatu yang menekan jiwa. Mujurlah hari ini dia tidak bertugas. Kalau tidak, pasti dia sudah menolak perlawaaan itu.
“Best sangat ke movie tadi? Tersengih sampai ke telinga tu,” usik Farah.
“Bestlah.. hilang stress aku ni,” balas Ardell Armani, senyum nipis.
Farah menyilang tangan di dada, memandang tepat ke arah sahabatnya. “kau tak okay, kan? Apa lagi kali ni?”
Ardell Armani terdiam beberapa saat. Suaranya keluar perlahan, nyaris bergetar.
“Ayah.. dia suruh belikan motor untuk Anis.” Dia menarik nafas panjang. “Kenapa aku yang selalu kena pikul semua ni, Farah? Balik dari laut, yang menunggu bukannya pelukan.. tapi beban baru. Dari kecil sampailah sekarang, aku tak pernah cukup di mata ayah.”
Farah bersandar ke belakang, matanya tidak lepas dari wajah Ardell Armani yang jelas menyimpan seribu keluhan yang di pendam terlalu lama.
“Del.. aku faham,” katanya perlahan. Lembut suaranya tapi tegas.
“Kau bukannya marah sebab motor tu, kan? kau marah sebab kau rasa ayah tak pernah nampak semua pengorbanan kau. Betul tak?”
Dia berhenti seketika, mencari kata yang sesuai.
“Tapi Del.. kadang orang tua bukan tak nampak. Mereka cuma tak pandai tunjuk. Mereka fikir selagi kau mampu berdiri, selagi tu kau tak perlukan belaian.”
Ardell Armani mendengar dengan mata yang mulai basah. Dia tersenyum hambar, suara tenggelam di hujung keluhan. Jarinya mula menguis-nguis hujung mata, menghalang air mata dari menitis ke pipi.
“Orang yang kuat pun nak rasa disayangi. Nak dirindui, Farah...”
Farah mengangguk.
“Ya, aku faham, Del. Kalau tak mampu, tak payahlah beli motor tu. Cakap elok-elok pada Anis. Kau dah buat banyak dah, Del.”
Ardell Armani menggeleng lemah.
“Kalau bukan aku, siapa lagi, Farah? katanya. “Kau.. temankan aku pergi tengok motor tu, ya?”
“Baiklah, aku teman. Tapi janji satu perkara. Lepas ni, kau kena belajar sayangkan diri sendiri juga.”
****
Petang itu, Ardell Armani pulang ke rumah dengan sebuah motor baru. Suara riang Anis menyambutnya dari halaman.
“Kak! serius ni? Motor ni untuk anis?” jerit Anis, matanya bersinar-sinar.
“Ha, untuk Anis,” jawab Ardell Armani sambil tersenyum.
Anis menjerit kegembiraan, melompat dan memeluknya sekejap.
“Terima kasih, kak! Terima kasih!” katanya girang.
Namun pelukan itu hanya sebentar. Anis segera mengelilingi motor barunya, penuh bangga, seolah-olah dunia kini berpihak kepadanya. Di tepi, Haji Muhammad hanya berdiri memerhati. Dia mengangguk kecil sambil mengukir seulas senyuman tanpa sepatah kata pujian.
Ardell Armani mengeluh perlahan, memujuk hati yang kian jauh.
Malam itu, sebelum berangkat semula ke pelantar, Ardell Armani duduk sendirian di tepi katil. Lampu bilik malap, hanya cahaya telefon memantulkan wajah letihnya di cermin kecil. Bibirnya bergerak perlahan, hampir seperti doa yang tidak sampai ke langit.
"Di mata mereka aku hanyalah tempat bergantung..”
****
Nota Penulis
Bab ini menyorot konflik emosi Ardell Armani sebagai anak sulung yang memikul beban keluarga tanpa banyak suara. Ia memperlihatkan ketegangan antara tanggungjawab dan keinginan untuk dihargai. Dialog antara ahli keluarga, khususnya antara Haji Muhammad, Puan Fatimah, dan anak-anak memperlihatkan jurang persefahaman yang sering berlaku dalam sesebuah keluarga.
Melalui perbualan Ardell dengan sahabatnya, Farah, pembaca dibawa menyelami sisi rapuh Ardell yang jarang terliat. Pembaca akan dapat melihat bahawa kekuatan yang ditunjukkan selama ini sebenarnya datang bersama luka yang disembunyikan.
Bab ini menegaskan tema pengorbanan, kasih yang tidak diungkap, dan beban emosional seorang anak sulung. Ia menjadi titik penting yang menunjukkan bagaimana Ardell terus memilih untuk memberi walaupun hatinya semakin lelah.
- MiraSha
***Download NovelToon to enjoy a better reading experience!***
Comments
Em không đanh đá chỉ hay phá người ta
Ahhh, I'm addicted to this story. Need more, please!
2025-11-10
0