MATAHARI pagi menembusi langsir nipis bilik Ardell Armani, membentuk corak cahaya keemasan di dinding yang pudar warnanya. Dia membuka mata perlahan-lahan, terasa berat di kepala dan sendi yang masih lenguh akibat perjalanan panjang dari pelantar semalam. Udara di dalam bilik itu berbau lembap, mungkin kerana terlalu lama ditinggalkan. Namun, walaupun ringkas dan tidak seindah bilik hotel di bandar, ruang ini tetap mempunyai makna sendiri.
Di sinilah tempat dia menjadi dirinya yang sebenarnya, bukannya seorang ketua jurutera, bukan pemimpin di tengah lautan. Tetapi hanya seorang anak perempuan yang pulang dengan dada yang sarat.
Ardell Armani menggeliat perlahan, menghela nafas panjang. Dia cuba untuk memujuk dirinya agar tenang. Tetapi gema suara ayahnya malam tadi kembali menghantui, memecahkan sisa ketenangan pagi.
“Ha.. Adel.. kebetulan kau balik ni.. boleh kau belikan motor untuk adik kau tu. Kau kan kerja elok, gaji besar.”
Nada itu bukan sekadar permintaan. Ia datang bersama tuntutan dan harapan yang terasa berat di bahu. Bukannya dia berkira. Tetapi setiap kali dia pulang, sentiasa ada saja perkara yang perlu dipikul. Tiada ucapan selamat pulang, tiada pertanyaan tentang kesihatan. Hanya tanggungjawab yang terus bertambah.
Ardell Armani menutup matanya semula, namun bayangan wajah ayahnya terus bermain di kepala. Semasa dia masih kecil dulu, dia sering cuba mencari perhatian lelaki itu dengan keputusan cemerlang di sekolah, dengan hadiah kecil dari duit simpanannya. Tapi pujian itu jarang datang. Sejak arwah ibunya tiada, jarak antara mereka semakin melebar.
Dan.. walaupun Puan Fatimah tidak pernah membezakannya, Ardell Armani tahu kasih seorang ibu tiri tidak mampu sepenuhnya menampal jurang yang ditinggalkan seorang ayah yang dingin.
Bunyi ketukan lembut di pintu memecahkan lamunannya.
“Assalamualaikum, Adel..” Puan Fatimah menyapa dengan suara yang sedikit serak namun penuh kehangatan yang menenangkan.
“Waalaikumussalam, mak. Masuklah,” balasnya, cepat-cepat bangun, lalu duduk di birai katil sambil merapikan rambut yang masih kusut.
Puan Fatimah melangkah masuk dengan sebuah senyuman yang tenang. Ditangannya ada sebuah kotak bungkusan kecil berbalut kertas pastel. Rapi dan sederhana. Seperti tuannya juga.
Ardell Armani mengerutkan dahi. Separuh pelik, separuh terharu.
“Apa ni, mak?”
“Hadiah, sikit..” jawab Puan Fatimah, duduk di hujung katil. “Mak nampak masa pergi pasar raya hari tu, terus mak teringat kat Adel. Itu yang mak beli. Tak mahal pun, tapi mak tahu, Adel pasti suka..”
Ardell Armani mengambil bungkusan itu dengan tangan yang sedikit bergetar. Ada sesuatu pada cara ibunya berkata-kata. Lembut, berhati-hati, seolah-olah bimbang kasihnya disalah erti. Dia membuka pembalut itu dengan berhati-hati, bimbang merosakkan kertas yang dilipat kemas. Saat kotak kecil itu terbuka, matanya tertangkap seutas jam tangan sederhana bertali kulit coklat, rekaannya klasik tetapi elegan.
“Cantik, mak..” ucapnya, perlahan. Ada nada sebak dalam suaranya. Dia cuba tersenyum tapi ada sesuatu yang menekan di dada. Menyentuh rasa terharu yang datang bersama ingatan tentang segala yang pernah hilang.
Puan Fatimah menepuk perlahan paha anak tirinya itu.
“Mak tahu kerja Adel tu susah. Berbulan-bulan di laut, jauh dari keluarga. Jangan fikir mak tak ingat. Adel tetap anak mak, sama macam Aleya dan Anis.”
“Terima kasih, mak..” ucapnya hampir berbisik. Kata-kata ibunya itu menyelinap ke dalam hati Ardell Armani. Dia menunduk, menatap jam itu lama.
“Adel pakai jam itu, ya. Bila tengok, ingatlah orang kat rumah yang selalu doakan Adel walau kat mana pun Adel berada.” tambah Puan Fatimah sambil mengusap bahu Ardell Armani dengan gerakan lembut yang terasa seperti belaian seorang ibu kandung.
Ardell Armani hanya mengangguk. Dia mencuba menahan sebak yang mula mencengkam jiwa. Bibirnya cuba membentuk senyuman. Namun matanya sudah mula berkaca. Dia tahu kata-kata itu ringkas, namun disebalik kesederhanaannya ada kasih yang tulus. Ia juga kasih yang tidak pernah menuntut balasan.
“Dah, pergi mandi, lepas tu turun. Aleya dah tunggu nak sarapan sama-sama..” kata Puan Fatimah sambil tersenyum kecil. Dia lalu bingkas bangun menuju ke pintu bilik, berpaling seketika sebelum kembali melangkah keluar.
“Baik, mak.” balas Ardell Armani.
Pintu yang tertutup perlahan meninggalkan sunyi yang tiba-tiba terasa hangat. Ardell Armani menatap jam itu sekali lagi. Pantulan cahaya pagi di permukaannya seperti memantul jauh ke dalam hatinya. Di celah kesunyian itu, ada ketenangan yang menenangkan jiwa. Namun jauh di dasar hatinya, masih ada luka yang belum lagi sembuh sepenuhnya. Luka yang hanya dia sendiri tahu betapa dalamnya.
****
Pagi itu, rumah mereka riuh dengan suara Aleya dan Anis. Di meja makan, Aleya sedang mengatur pil dan ubatan kedalam kotak kecil. Ubat untuk pagi, tengahari dan malam. Tangaannya cekap, terbiasa dengan rutin harian yang kini menjadi sebahagian daripada hidupnya. Namun wajahnya tetap pucat. Setiap kali dia menelan pil, Ardell Armani terasa seolah satu hela nafasnya turut hilang.
Kanser itu datang tanpa amaran. Dan sejak didiagnosis dua tahun lalu, hari-hari mereka berubah menjadi rentetan doa dan harapan yang tidak pernah padam.
Anis pula duduk dengan wajah ceria. Tangannya memegang katalog motorsikal yang dicetaknya sendiri dari internet. Gaya badannya seperti tiada apa yang membebani hidupnya. Seolah-olah dunia sentiasa berpihak kepada yang muda dan belum belajar tentang kehilangan.
“Kak Adel, tengoklah yang ni,” katanya sambil menunjukkan gambar motor berwarna biru terang. “Comel kan? kalau ada motor, Anis boleh pergi sekolah sendiri. Tak payah susahkan ayah hantar lagi.”
Aleya mengangkat kening, tersenyum kecil.
“Nanti mak yang pening kepala kau asyik main motor. Belajar rajin-rajin dulu, baru fikir pasal motor.” suaranya lembut, namun disertai batuk kecil yang cuba disembunyikan disebalik senyumannya.
Anis menjeling. Menyandarkan tubuh ke kerusi.
“Ala, Kak Adel bolehlah tolong beli, kan? Duit akak kan banyak.. janganlah kedekut sangat,” Suaranya dibuat-buat manja, seperti selalu.
Ardell Armani yang sedang mengacau kopi hanya mampu tersenyum hambar. Dia tidak menjawab, hanya memandang sekilas adiknya itu. Kata-kata itu seperti anak panah yang menikam lembut hatinya. Dia tahu, Anis masih muda. Masih melihat dunia dengan mudah. Tanpa dia sedari, semua keinginan itu boleh digapai hanya kerana seseorang mampu bekerja keras.
Namun setiap kali adiknya berkata begitu, ada sesuatu yang menekan dadanya. Seolah-olah dirinya cuma mesin pencetak wang. Bukanya seorang anak yang juga ada rasa letih dan ingin dimengerti.
Puan Fatimah menoleh.
“Anis, apa cakap macam tu. Kak Del penat kerja, bukan untuk ditambah beban. Kalau nak apa-apa minta dengan ayah,” Puan Fatimah menegur dengan lembut.
Anis kemudiannya mendengus, berpura-pura sibuk mengacau kopi yang sudah lama larut. Wajahnya yang ceria tadi bertukar masam, seolah-olah terasa dimarahi tanpa sebab. Suasana di meja makan senyap seketika. Aleya tunduk, menelan pil terakhirnya sebelum mencapai tisu. Batuk kecil kedengaran.
Puan Fatimah menghela nafas panjang. Matanya bergilir-gilir memandang anak-anaknya satu persatu. Satu bertahan dalam sakit, satu masih belajar memahami hidup dan satu lagi diam membatu di hujung meja, menanggung sesuatu yang hanya dirinya sendiri yang tahu.
Di ruang tamu, Haji Muhammad duduk di sofa, sibuk membetulkan siaran televisyen yang asyik berbunyi berdesis. Bunyi statik yang memecahkan kesunyian pagi, berselang dengan batuk Aleya dari meja makan. Ardell Armani melangkah menghampiri, tangannya masih lagi memegang cawan kopi yang sudah suam. Dia berdiri seketika dibelakang ayahnya, menimbang-nimbang sama ada wajar dia bersuara atau pun tidak. Seolah-olah takut untuk mendekati lelaki itu.
Akhirnya dia duduk disisi Haji Muhammad. Jarak mereka hanya sejengkal tapi terasa bagaikan beribu batu.
“Ayah, ada apa-apa yang ayah nak Del bantu hari ni?” soalnya lembut. Dia cuba mencari ruang untuk berbual. Sesuatu yang jarang wujud antara mereka.
Haji Mohammad tidak menoleh, hanya memicit-micit kepala remote sebelum menekan butang lain. “Tak ada apa sangat. Kalau boleh..” kata-katanya terhenti seketika, menarik nafas sebelum kembali berkata, “Pasal motor tu.. cubalah tengok-tengokkan. Anis tu manja tapi kadang-kadang kita kena ikutkan juga. Apa salahnya kamu tolong ayah sekali sekala.”
Ardell Armani diam sejenak. Kata-kata itu masuk perlahan kedalam telingannya, tetapi tidak sampai ke hati. Cawan ditangannya digenggam erat, seolah cuba menahan sesuatu daripada tumpah.
“Baik, ayah.” katanya akhirnya. Satu senyuman cuba untuk diukirkan dibibirnya walau senyuman itu tidak pernah benar-benar hidup.
Televisyen kini sudah jelas siarannya. Haji Muhammad bersandar lega, menonton televisyen tanpa menoleh kearahnya. Dalam diam, Ardell Armani memerhati sisi wajah ayahnya. Wajah yang dulu pernah menjadi tempat dia mencari teduh. Kini terasa semakin asing.
‘Ayah.. tahukah kau aku juga anak yang perlukan perhatian?’ bisik hatinya.
Namun seperti biasa, kata-kata itu hanya terperangkap di kerongkong, bersama rindu yang tidak pernah sempat dia suarakan.
****
Petang itu, langit berwarna jingga keemasan dan bayang pohon jambu di tepi pagar menjulur panjang ke tanah. Angin berhembus lembut, suara zikir petang sayup-sayup kedengaran dari surau hujung jalan. Ardell Armani bersandar pada kerusi di balkoni biliknya, memerhati dunia di bawah yang terasa begitu dekat, namun jauh daripada dirinya.
Di halaman rumah, kelihatan ayah dan maknya sedang duduk di bangku kayu menghadap kolam ikan peliharaan Haji Muhammad. Di tangan ayahnya ada secawan teh yang masih berasap, sementara maknya sedang menyiang daun kesum yang dibawa dari dapur. Suara mereka tidak kuat tapi cukup untuk sampai ke telinga Ardell Armani yang diam di atas.
“Esok kena bawa Aleya pergi hospital lagi,” suara Puan Fatimah kedengaran sayup, disusuli satu keluhan kecil. “Doktor kata minggu ni kena pantau darah dia. Nampak sihat, tapi tak boleh ambil mudah.”
“Abang dah tanya bahagian kewangan tadi. Mungkin boleh guna sedikit dari simpanan tabung haji dulu. Tak apa.. yang penting, kesihatan Aleya kita utamakan.” kata Haji Muhammad. Matanya tertumpu ke tanah.
Nama Aleya meniti lembut di antara mereka, penuh risau dan kasih. Dari atas, Ardell Armani memejamkan mata. Setiap perkataan itu menikam lembut ke dadanya. Rasa kecil, rasa jauh, rasa tidak lagi termasuk dalam bulatan yang sama.
“Ayah, Anis nak juga motor tu. Semua kawan-kawan ketawakan Anis sebab naik basikal pergi sekolah.” tiba-tiba, suara Anis memecah sunyi dari dalam rumah.
Puan Fatimah hanya ketawa kecil melihat air muka anak bongsunya yang masam. Mungkin geram diejek kawan-kawannya.
“Anis, pakai jelah basikal tu. Bukannya basikal buruk. Basikal tu baru je Kak Del belikan tahun lepas. Manja tu tidak bertempat.” Tegur Puan Fatimah.
“Nanti.. Adel belilah motor tu..”
Terdengar suara ayahnya menegur lembut, lalu disusuli rengekan yang makin panjang. Beberapa detik kemudian, tawa mereka bersatu, pecah dalam harmoni yang menghangatkan petang itu.
Dari tempatnya, Ardell Armani diam memerhati senyuman yang tidak pernah lagi menjadi miliknya. Angin menyapa pipi mulus gadis itu, membawa bersama bau teh panas dan suara tawa yang terasa begitu jauh.
****
Nota Penulis
Bab ini menunjukkan sisi sebenar hubungan Ardell dengan keluarganya. Antara tanggungjawab, kasih yang terpendam, dan luka lama yang belum sembuh. Saya ingin pembaca melihat bagaimana diamnya Ardell bukan tanda lemah, tetapi cara dia menahan diri agar tidak terus terluka.
Dalam masa yang sama, watak Puan Fatimah dan Aleya membawa keseimbangan. Kasih, pengorbanan dan harapan yang masih wujud walau dalam suasana yang dingin. Bab ini adalah cerminan realiti bahawa tidak semua keluarga sempurna, namun tetap ada kasih yang cuba bertahan di celah retak.
-MiraSha
***Download NovelToon to enjoy a better reading experience!***
Comments