Bab 4

PETANG itu rumah Haji Muhammad meriah dengan suara jiran-jiran yang keluar masuk membawa dulang-dulang berisi lauk dan kuih-muih. Dapur menjadi nadi suasana. Bunyi senduk dan periuk saling berlaga, suara wanita bertingkah riuh, dan aroma nasi minyak serta rendang daging memenuhi udara. Seakan menyelubungi setiap ruang dengan rasa bersyukur.

Majlis doa selamat diadakan untuk Aleya, Sebuah tanda kesyukuran kerana dia berjaya melalui rawatan kanser yang entah kali ke berapa dengan baik. Walaupun wajahnya masih lagi pucat, sinar di matannya kembali hidup. Dia duduk di sofa, memakai tudung sarung lembut berwarna krim, dan sesekali tersenyum  kerana di sapa tetamu. Di sebelahnya, Puan Fatimah sibuk melayan para jiran yang datang menziarah, penuh rasa terharu dengan keperihatinan mereka.

Ardell Armani pula duduk di ruang tamu, menolong menyusun pinggan dan gelas di atas meja panjang. Jemarinya cekap, senyum tidak pernah lekang di bibir, namun matanya kosong. Bunyi orang ketawa, bau makanan dan suara bacaan doa. Semuanya terasa samar di telinganya.

“Alhamdulillah, Aleya nampak makin segar sekarang,” tegur seorang jiran, menepuk lembut bahu Aleya.

“Alhamdulillah.. ni pun baru je sihat dari demam, mak cik.” jawab Aleya sambil mengangguk. “Doakanlah saya, makcik. Semoga rawatan seterusnya pun dipermudahkan.”

“Insyallah,” balas jiran itu lagi. “Awak ni nampak kuat, Aleya. Anak solehah, anak bijak. Senang hati mak ayah awak.”

Haji Muhammad yang duduk di sudut meja mengangguk-angguk, wajahnya bercahaya dengan rasa bangga. “Ya, Aleya ni memang kuat,” katanya sambil menepuk bahu anak keduanya itu. Semua mata tertumpu pada Aleya.

Puan Fatimah tersenyum. Suasana sekeliling dipenuhi pujian dan kata syukur. Seorang jiran yang baru selesai membantu di dapur menghampiri Ardell Armani.

“Adel, lama tak nampak kamu? kerja kat mana sekarang? Rajin betul tolong mak, dari tadi tak berhenti tangan tu..”

Ardell Armani cepat-cepat tersenyum.

“Kerja di bandar ni, mak cik. Tak jauh pun,” jawabnya sopan sambil membetulkan susunan gelas di atas meja.

“Baguslah. Anak sulung, kan? mesti banyak tolong mak dan ayah.” ujar jiran itu lagi dengan nada memuji.

Ardell Armani hanya tersenyum nipis, sekadar mengangguk. Dalam diam, kata-kata itu terasa menyentuh sesuatu yang perit di dadanya. Seolah-olah semua orang tahu peranannya tetapi tiada yang benar-benar melihat letihnya.

Sekilas pandangannya bertembung dengan wajah Aleya yang sedang tertawa kecil diapit mak dan ayahnya. Satu rasa asing menyelinap masuk. Bukan cemburu, tapi sejenis sepi yang menyesakkan dada. Dalam riuh manusia yang bersyukur atas kekuatan Aleya, Ardell Armani terasa semakin kecil, seolah-olah dia cuma bayang di tepi dinding. Ada, tapi tidak terlihat.

****

Malam itu, selepas tetamu terakhir melangkah pulang, suasana rumah Haji Muhammad kembali perlahan dan tenang. Aleya sudah dibawa masuk ke bilik untuk berehat, tubuhnya kelihatan letih selepas seharian tersenyum melayan tetamu. Di ruang tamu, Anis masih berbaring di sofa sambil mengunyah baki kuih yang masih tersisa, matanya separuh terpejam. Haji Muhammad dan Puan Fatimah sibuk di dapur, mengemas pinggan mangkuk yang sudah di cuci hanya saja blum sempat disimpan.

Ardell Armani pula perlahan-lahan melangkah ke bilik Aleya. Dia tahu, selepas semua orang berlalu dan riuh tadi reda, hanya waktu begini Aleya akan benar-benar menunjukkan letihnya. Dan disitulah, seperti selalu tempat Ardell Armani berada.

“Ya? Kenapa termenung ni?” tegur Ardell Armani perlahan.

Aleya menggeleng kepala. Senyuman yang tadi menghiasi wajahnya yang masih pucat itu kini telah pudar, seperti sinar yang ditelan mendung. Matanya kosong, entah ke mana fikirannya berlari.

Dia hanya tersenyum nipis. Jari-jemarinya bermain di atas riba, perlahan dan tanpa arah. Ardell Armani menghampiri, duduk di sisi katil adiknya itu. Dengan penuh kasih, tangannya menarik selimut menutupi tubuh Aleya yang kian susut.

Pandangan Ardell Armani beralih pada dulang kecil di meja sisi. Air di dalam gelas tidak terusik, begitu juga beberapa biji pil yang masih belum disentuh.

“Ya, kenapa tak makan ubat ni?” soalnya lembut.

“Bosanlah, kak..” Aleya memuncungkan bibirnya, wajahnya seperti anak kecil yang mahu dipujuk.

“Tak bolehlah macam tu,” balas Ardell Armani sambil mengelus rambut adiknya. “Ya kena makan ubat. Kata nak cepat sembuh, kan?”

Aleya menunduk. Suaranya perlahan, hampir tenggelam bersama dengup malam. “Ya sebenarnya takut, kak.. takut kalau Ya tak kuat untuk melawan penyakit ini.”

“Sayang..” Ardell Armani menggenggam tangan adiknya. “Kami semua ada dengan Ya. Kita lawan sama-sama, ya?”

Aleya tersenyum, tapi di matanya ada sesuatu yang tidak mampu disembunyikan. Resah yang tidak berkaitan dengan tubuhnya, tapi dengan hati yang memikul beban kakaknya. Dia tahu Ardell Armani sedang berjuang dengan sesuatu yang lebih berat daripada sekadar keletihan.

Andai dia berada di tempat kakaknya, mungkin dia sudah lama rebah. Dari luar, Ardell Armani tampak tabah, tapi Aleya tahu. Dalam diam, kakaknya terluka. Air mata yang hampir menitis cepat-cepat diseka sebelum disedari Ardell Armani.

“Ya.. sabarlah, sayang,” pujuk Ardell Armani lembut.

Aleya memandang kakaknya, suaranya sedikit bergetar. “Kak Dell selalu nampak kuat. Tapi Ya tahu itu semua luaran je. Akak pendam sendiri, kan? Dalam diam, akak pun sakit..”

Ardell Armani tersenyum nipis. Senyum yang tidak berdaya menipu, tapi cukup untuk menenangkan.

“Akak tak pernah seorang, Ya. Setiap kali akak rasa nak jatuh, selalu ada Ya yang hulurkan tangan. Akak tahu, Ya pun ada luka sendiri yang Ya sembunyikan.”

Aleya memandang ke luar jendela. Cahaya bulan separuh memantul di wajahnya yang suram. “Ya kadang takut, kak. Takut satu hari nanti Ya akan kehilangan akak.”

Ardell Armani menarik nafas panjang, lalu menggenggam tangan adiknya erat. “Jangan takut, Ya. Selagi ada Ya di sisi akak, selagi mak masih ada, akak janji akak akan terus kuat. Akak takkan jatuh.”

Mereka saling berpandangan. Mata yang sama redup, jiwa yang sama lelah. Dalam diam, ada kasih yang tak perlu dijelaskan dengan kata. Di luar, bunyi cengkerik menemani malam yang kain larut. Ardell Armani membetulkan selimut Aleya sekali lagi sebelum berbisik perlahan,

“Tidurlah. Ya dah penat sangat hari ni..”

Aleya mengangguk kecil. Perlahan-lahan matanya terpejam, sementara Ardell Armani masih duduk di sisi, memandang wajah adiknya yang akhirnya tenang. Dalam hati, dia berdoa. Semoga esok membawa sedikit cahaya.

****

Malam itu sebelum tidur, Ardell Armani duduk di meja kecil biliknya. Lampu meja menerangi wajahnya yang letih, sementara di luar bunyi cengkerik bersahut-sahutan dalam gelap malam. Dari jendela yang sedikit terbuka, angin membawa aroma tanah basah, tenang tapi juga menyesakkan dada.

Dia termenung lama. Fikirannya melayang jauh ke pelantar. Tempat yang bising dengan bunyi jentera, tempat di mana panas terik dan keletihan menjadi kawan harian. Di situ dia belajar menahan diri, menelan rindu dan menyembunyikan sepi di sebalik senyum. Dia memilih kerja itu kerana mahu membuktikan sesuatu. Tetapi kepada siapa sebenarnya?

Mungkin kepada ayah.

Mungkin kepada dirinya sendiri.

Hatinya bergetar halus.

‘Mungkin kalau aku berjaya, ayah akan pandang aku lebih lama.. lebih daripada sekadar anak yang kuat.’

Ardell Armani menghela nafas panjang. Ditariknya angin malam ke dalam dada, seolah-olah mahu menenangkan segala yang bergolak. Dia tahu esok akan datang dengan cabaran baru, dan seperti selalu dia harus kembali memainkan peranannya. Anak sulung yang tabah, yang tidak pernah mengeluh, walaupun hatinya sendiri retak perlahan-lahan.

Dia mematikan lampu, merebahkan diri dan malam pun menutup tirainya. Meninggalkan Ardell Armani dalam diam yang hanya difahami oleh hati yang terbiasa menyembunyikan luka.

****

Nota Penulis

Bab ini membawa pembaca menyelami sisi emosi Ardell Armani, anak sulung yang sering dilihat kuat, namun sebenarnya menyimpan luka yang tidak pernah terucap. Dalam riuh majlis kesyukuran buat Aleya, kita melihat kontras antara kegembiraan di luar dan kesunyian di dalam diri seseorang yang terbiasa menjadi tulang belakang keluarga. Hubungan Ardell dan Aleya menggambarkan kasih sayang yang tulus antara dua jiwa yang sama-sama berjuang, meski dengan cara yang berbeza.

Bab ini saya tulis untuk mengingatkan bahawa kekuatan tidak selalu bermakna tidak pernah lemah. Kadangkala ia hadir dalam diam, melalui pengorbanan yang tidak terlihat.

-MiraSha

Episodes

Download

Like this story? Download the app to keep your reading history.
Download

Bonus

New users downloading the APP can read 10 episodes for free

Receive
NovelToon
Step Into A Different WORLD!
Download NovelToon APP on App Store and Google Play