Nadia tiba di kolej dengan penuh semangat. Dia mendaftar di kaunter asrama dan seorang guru wanita yang bertugas di situ, Cikgu Farah, menyerahkan kunci biliknya.
"Ini kunci bilik kamu, 204," kata Cikgu Farah sambil tersenyum.
Nadia mengambil kunci itu tampa melihat nombornya dan menuju ke blok asrama lama yang masih digunakan oleh pelajar semester awal. Asrama itu sunyi kerana ramai pelajar belum masuk.
Bila tiba di lorong bilik, dia melihat nombor di atas kunci yang dia dapat tadi tertera bernombor. "404".Dan dia menjumpai pintu yang tertera nombor tersebut.
Tampa ragu Nadia melangkah masuk ke bilik asramanya dengan perasaan bercampur-baur. Dia baru saja mendaftar di sebuah kolej lama yang terkenal dengan sejarahnya. Bangunan asrama ini kelihatan usang, tetapi dia cuba mengabaikan perasaan tidak selesa itu.
Di dalam bilik, seorang gadis sedang duduk di tepi katil. Rambutnya panjang dan jatuh menutupi separuh wajahnya. Dia tidak menoleh, hanya sibuk mencatat sesuatu di dalam sebuah buku nota lusuh.
"Hi, aku Nadia. Kau roommate aku kan?" Nadia cuba bertegur sapa.
Gadis itu berhenti menulis. Perlahan-lahan, dia mendongak dan memandang Nadia dengan mata kosong.
"Aku... Amira," jawabnya perlahan.
Nadia tersenyum kecil, tetapi hatinya berasa sedikit pelik. Ada sesuatu yang aneh pada Amira. Dia kelihatan pucat, dan suaranya hampir seperti bisikan.
Malam pertama di asrama, Nadia terjaga kerana terdengar bunyi kertas diselak. Dalam samar cahaya, dia melihat Amira masih duduk di tempat yang sama, mencatat sesuatu di dalam buku itu.
Keesokan harinya, Nadia bertanya kepada seorang senior tentang Amira. Senior itu memandangnya dengan wajah terkejut.
"Amira?" Senior itu berbisik. "Bilik tu bukan kosong, ke? Bilik 404 dah lama ditutup... sejak kejadian tu."
Darah Nadia terasa membeku. Jika bilik ini sudah lama kosong... siapa yang tidur di katil sebelahnya semalam?
Dengan perasaan yang gelisah Nadia menggenggam kunci biliknya sambil berjalan ke pejabat warden. Dia tak dapat berhenti fikir tentang apa yang seniornya katakan tadi.
"Bilik 404 dah lama ditutup... sejak kejadian dimana ada seorang pelajar perempuan jatuh dari tingkat 3."
Tapi itu mustahil. Dia sendiri dah duduk di bilik itu selama seminggu. Dia dah berbual dengan Amira, melihatnya menulis setiap malam.
Sampai di pejabat warden, dia terus bertanya, "Cik, boleh saya semak rekod bilik saya? Saya rasa ada kesilapan."
Warden tua itu melihat Nadia dengan pelik. "Bilik berapa?"
"404."
Tangan warden itu tiba-tiba terhenti. Wajahnya berubah serius. Dia bangun dari kerusinya, berjalan ke rak fail lama dan menarik satu fail berdebu. Dia menyelak halaman demi halaman sebelum mendongak memandang Nadia.
"Bilik 404... dah lama tak ada penghuni," katanya perlahan.
Dada Nadia berdegup kencang. "Tapi saya duduk di situ! Saya ada roommate... Amira namanya."
Warden terdiam sebelum menghela nafas panjang. "Amira... ya, dia memang pelajar kolej ini. Salah seorang yang paling bijak di sini. Tapi selepas ibu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya, dia mengalami tekanan teruk. Dia menolak untuk pulang dan memilih untuk tinggal di asrama, walaupun semua pelajar lain dah dipindahkan ke bangunan baru."
"Jadi, dia masih di situ?"
"Ya." Warden memandang Nadia dengan serius. "Tapi... macam mana kau boleh masuk ke situ? Kunci bilik tu dah lama disimpan di pejabat."
Nadia tergamam. Dia mengeluarkan kunci dari poketnya dan meletakkannya di atas meja. Warden mengambilnya, memeriksa nombor di kunci, dan mukanya serta-merta berubah pucat.
"Nadia... ini bukan kunci bilik kamu. Ini kunci lama yang sepatutnya tidak ada sesiapa boleh ambil."
Nadia mula rasa seram. Dia berlari kembali ke biliknya, tetapi apabila dia tiba di sana, bilik itu kosong. Tiada tilam, tiada meja, tiada sebarang tanda ia pernah dihuni.
Di lantai, hanya tinggal sebuah buku nota lusuh yang biasa dipegang Amira.
Dengan tangan menggigil, Nadia mengambil buku itu dan membuka halaman pertama.
"Tolong jangan buang aku. Aku cuma nak tinggal di sini... aku janji aku takkan kacau sesiapa."
Hati Nadia terasa sebak. Dia akhirnya sedar Amira bukan hantu, bukan ilusi. Dia hanya seorang gadis yang kehilangan segalanya dan memilih untuk hidup dalam kenangan.
Nadia akhirnya dipindahkan ke bilik yang betul, tetapi dia tidak pernah lupa tentang Amira. Sejak dia berpindah ke bilik lain Nadia tidak pernah bertemu Amira lagi selepas itu. Bilik 404 akhirnya dikunci semula dan dipindahkan ke dalam rekod sebagai kawasan larangan.
Tapi kadang-kadang, bila Nadia melalui blok lama itu, dia masih terasa seperti ada seseorang memerhatikan dari balik tingkap yang berdebu.
"TAMAT"