ANGIN laut yang melekat di kulit masih terasa walaupun bunyi kipas helikopter sudah lama hilang di belakang. Ardell Armani melangkah tenang keluar dari kawasan pendaratan menuju ke banggunan operasi syarikat yang berdiri tidak jauh dari pagar keselamatan.
Bangunan itu tidak sebesar ibu pejabat di Kuala Lumpur, tetapi inilah nadi utama semua operasi pelantar di zon timur. Di sinilah Access Energy beroperasi. Sebuah syarikat kejuruteraan minyak dan gas yang menguruskan pelantar di bawah selian mereka, termasuk pasukan teknikal yang diketuai oleh Ardell Armani sendiri. Cat putih sudah pudar warnanya ditelan garam laut, namun bendera syarikat yang berkibar di anjung memberi isyarat tentang kuasa dan pengaruh mereka di tengah samudera.
Di ruang legar, suasana sibuk. Pekerja Offshore yang baru turun dari laut bercampur dengan jurutera darat, setiap orang membawa wajah yang penat dan lega. Bau kopi panas dari mesin automatik bercampur dengan bau logam dan peluh yang masih terbawa dari laut.
Seorang pengawal keselamatan memberi isyarat kepadanya untuk menurunkan tandatangan pada senarai nama crew yang baru mendarat. Ardell Armani mengangguk. Dia menyerahkan pas keselamatannya, sebelum melangkah ke tingkat dua. Ke ruang mensyuarat operasi.
Di situlah dia perlu menyerahkan laporan akhir mengenai status enjin turbin, sistem paip, serta masalah yang masih belum diselesaikan di pelantar. Sebagai ketua jurutera, tanggungjawabnya belum berakhir sebaik sahaja kaki menjejak daratan. Pintu kaca berbingkai aluminium ditolak perlahan, menyingkap ruang pejabat yang dipenuhi peta pelantar, carta alir penyelenggaraan dan skrin komputer yang memaparkan data masa nyata dari tengah laut.
Ardell Armani menarik nafas panjang. Dia tahu, sebelum sempat balik ke rumah dan menatap wajah ibunya, dia terlebih dahulu perlu menatap barisan angka dan laporan yang menuntut ketepatan. Laut mungkin sudah jauh di belakang, tetapi kewajipannya belum selesai.
Beberapa jurutera muda yang sedang menatap skrin laptop segera bangun menyambutnya. Di hujung meja, Encik Razak, pengurus operasi darat, mengangkat wajah sambil tersenyum mesra.
“Baru sampai, Adel?” soalnya memandang wajah penat jurutera wanita itu.
“Ya, Encik. Masih ada rasa bergoyang badan ni,” jawab Ardell Armani, separuh bergurau. Namun nada letihnya jelas kedengaran.
“Duduklah dulu. Saya tahu awak penat. Tapi sebelum balik, kita perlu dapatkan laporan ringkas. Bagaimana dengan enjin turbin di Pelantar Damar?” soal Encik Razak, menepuk kerusi kosong di sebelah.
Ardell Armani membuka fail tebal yang dibawanya. Tangan lincah menyelak helaian, walaupun matanya sudah berat kerana berjaga malam sepanjang minggu.
“Turbin utama masih stabil, cuma ada kebocoran kecil pada gasket di unit pendingin. Kami dah buat ‘temporary fix’ tapi perlu gantian penuh dalam dua minggu. Kalau lewat, risiko overheating akan meningkat.”
Salah seorang jurutera muda segera mencatat. Encik Razak mengangguk.
“Baik. Bagaimana dengan sistem paip saluran gas? Ada aduan tekanan tak seimbang.”
“Betul. Saya sendiri yang pantau,” jawab Ardell Armani.
“Kebocoran mikro ditemui di line 3, dekat riser. Kami dah mark dan clamp, tapi saya sarankan shutdown separa minggu depan untuk kerja-kerja penggantian. Kalau tak, boleh jadi masalah besar.”
Suasana bilik mesyuarat sunyi seketika. Bunyi kipas siling mendominasi ruang. Semua mata tertumpu pada Ardell Armani yang terus memberi laporan dengan tenang. Walaupun wajahnya jelas penat, namun begitu profesionalismenya tidak pernah luntur.
Encik Razak akhirnya bersandar.
“Baik, jelas. Kerja awak bagus, Adel. Awak boleh pulang dan rehat. Laporan penuh, hantar dalam masa 48 jam.” katanya.
Ardell Armani menutup failnya, berdiri perlahan. Saat melangkah keluar dari bilik itu, dadanya terasa lega. Tugas di laut sudah selesai dan laporan sudah diserahkan. Kini barulah fikirannya terarah kepada satu hal. Pulang ke rumah, menatap wajah ahli keluarganya dan menikmati daratan yang terasa asing selepas berminggu-minggu di tengah samudera.
Pintu bilik mesyuarat itu ditutup perlahan di belakangnya. Dia melangkah menyusuri koridor pejabat operasi yang masih sibuk dengan staf yang keluar masuk. Di tangannya, beg besar berisi pakaian dan dokumen pelantar terasa semakin berat. Fikirannya hanya satu.
Pulang.
Tiba-tiba telefon di tangannya bergetar. Skrin memaparkan nama yang dirindui. Puan Fatimah.
“Ya, mak. Adel dah sampai.” suaranya lembut, hampir berbisik.
‘Alhamdulillah.. sebelum balik rumah. Terus singgah hospital, ya. Jemput Aleya dulu. Dia baru habis rawatan kimo.” Suara ibunya yang lembut menembus terus ke hati, menenangkan penat yang masih bersisa.
“Baik, mak.”
Dia mempercepatkan langkah ke tempat parkir, mengangkat beg besar yang setia menemaninya ke laut. Walaupun tubuhnya kecil, hatinya bersemangat. Ada senyuman adik yang dirinduinya sedang menanti.
Ardell Armani menggenggam erat telefonnya. Panggilan itu singkat tapi cukup untuk mengingatkannya. Bagaimana letih sekalipun hidupnya di laut, daratan selalu mempunyai alasan untuk dia kembali.
****
Ardell Armani menolak pintu wad dengan berhati-hati. Bau antiseptik segera menyapa rongga hidungnya, menyatu dengan rasa sepi yang hanya dimiliki hospital. Pandangannya jatuh pada Aleya, adiknya yang sejak beberapa tahun lepas berjuang melawan kanser limforma. Rawatan kimoterapi yang silih berganti telah menghilangkan seri wajahnya, menipiskan rambutnya, dan melemahkan tubuhnya.
Namun ada satu hal yang penyakit itu gagal rampas, semangat di matanya.
Hari itu, Aleya baru selesai menjalani satu lagi sesi kimoterapi. Walaupun tubuhnya sedikit goyah, dia tetap melangkah bersama jururawat dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
“Kak Del!” Aleya melambai kecil, wajah pucatnya tetap bercahaya.
“Rindunya.. kuat betul adik akak ni,” kata Ardell Armani, segera mendapatkan adiknya. Lalu mendakap tubuh kurus itu erat-erat.
“Aleya kena kuat, kalau tak nanti mak risau,” balas Aleya. Dia ketawa kecil, bahunya bergetar dalam pelukan Ardell Amani.
Puan Fatimah yang berdiri di sisi hanya menggeleng sambil tersenyum. Tangannya menepuk lembut bahu kedua-dua anak perempuannya itu.
“Dah. Jom kita balik. Ayah dah tunggu kat rumah”
Ardell Armani melepaskan pelukan perlahan. Lalu merangkul bahu Aleya dengan penuh berhati-hati. Walau tubuh itu rapuh, semangat adiknya tetap menjadi cahaya yang menyalakan harapan keluarga mereka.
****
Rumah banglo sederhana di pinggir bandar itu menyambut kepulangan mereka dengan suasana biasa. Suara televisyen dari ruang tamu, bau kopi yang masih hangat dari dapur. Baru sahaja Ardell Armani menolak pintu, suara ayahnya, Haji Muhammad, sudah kedengaran lantang.
“Anis tu nak motor pulak sekarang. Katanya senang nak ke sekolah, senang nak ke kelas tambahan. Semua benda nak senang aje!” suarnya keras, namun jelas terselit kebimbangan seorang ayah yang tidak pandai meluah dengan lembut.
Ardell Armani terhenti langkah, memandang sekilas wajah Puan Fatimah. Dia tahu benar, Anis memang kerap meminta itu dan ini dan ayahnya jarang menolak. Biarpun dengan rungutan yang panjang.
Haji Muhammad menoleh, pandangannya jatuh tepat pada Ardell Armani yang sedang berdiri di sisi sofa.
“Ha, Adel.. kebetulan kau balik. Boleh tolong belikan motor untuk adik kau tu. Kau kan kerja elok, gaji pun besar. Ringan sikit beban ayah.”
Ardell Armani terdiam. Dia tidak terus menjawab. Hanya meletakkan beg besar di sisi. Aleya yang duduk di sofa memandang kedua-duanya, lalu mengukir senyum kecil. Seakan cuba untuk meredakan keadaan.
Puan Fatimah segera bersuara, lembut tapi tegas.
“Sudahlah, bang. Anak baru balik. Bagi dia rehat dulu. Adel tu penat, berminggu-minggu di laut. Takkan baru jejak rumah nak disuruhnya fikir pasal motor,”
“Aku bukannya apa. Cuma fikir keselamatan Anis. Tapi degilnya bukan main.” jawab Haji Muhammad sambil mendengus perlahan.
Ardell Armani menunduk, menelan segala kata itu dalam diam.
Puan Fatimah menggeleng, kali ini nadanya berubah. Sedikit terselit rasa marah, walau ditahan dengan tenang.
“Bang.. jangan asyik minta tolong Adel. Dia pun ada hidup sendiri. Dia memang anak abang dengan arwah, tapi dari kecil dia saya anggap anak saya sendiri. Tak pernah sekali pun saya bezakan antara dia dengan Aleya atau Anis.”
Ardell Armani tersentak kecil. Kata-kata ibunya itu selalu menjadi penguat hatinya. Mengingatkannya bahawa dia tidak pernah sendirian.
Namun, Ardell Armani juga tahu. Kasih ayahnya tidak pernah sama. Sejak kecil dia sudah terbiasa melihat ayahnya lebihkan Aleya dan Anis dalam segala hal. Apa sahaja yang diminta mereka, ayahnya akan usaha penuh. Sementara dia, anak dari arwah isteri pertama, sering di minta mengalah.
Suasana ruang tamu ketika itu menjadi sunyi. Puan Fatimah menepuk bahu Ardell Armani, seakan menyalur kekuatan yang hanya seorang ibu mampu berikan.
“Pergilah naik dulu, rehat. Tentang motor tu nanti kita bincang lain kali.”
Ardell Armani mengangguk kecil.
Dia tidak membantah, tidak juga mengiyakan permintaan ayahnya. Hanya diam. Perlahan, dia melangkah naik ke tingkat atas, setiap langkah seakan mengheret penat yang bersisa. Penat yang bukan hanya dari laut, tapi dari perjalanan panjang menjadi anak yang selalu perlu menanggung lebih daripada adik-adiknya.
Di ruang tamu, Aleya memandang ibunya, seakan ingin berkata sesuatu. Puan Fatimah hanya membalas dengan senyuman hambar, sebelum menoleh ke arah suaminya yang masih mengeluh kecil. Dalam hatinya, dia tahu yang kasih seorang ibu selamanya tidak mengenal perbezaan walaupun darah yang mengalir bukan dari rahimnya sendiri.
****
Nota Penulis
Bab ini ditulis untuk semua yang memikul tanggungjawab besar dalam diam. Ardell mewakili mereka yang sering dilupakan, namun tetap setia memberi. Dalam letih dan sepi, masih ada kekuatan untuk pulang kerana kasih sayang itu tidak pernah luntur, walau tidak selalu dibalas.
— MiraSha
MATAHARI pagi menembusi langsir nipis bilik Ardell Armani, membentuk corak cahaya keemasan di dinding yang pudar warnanya. Dia membuka mata perlahan-lahan, terasa berat di kepala dan sendi yang masih lenguh akibat perjalanan panjang dari pelantar semalam. Udara di dalam bilik itu berbau lembap, mungkin kerana terlalu lama ditinggalkan. Namun, walaupun ringkas dan tidak seindah bilik hotel di bandar, ruang ini tetap mempunyai makna sendiri.
Di sinilah tempat dia menjadi dirinya yang sebenarnya, bukannya seorang ketua jurutera, bukan pemimpin di tengah lautan. Tetapi hanya seorang anak perempuan yang pulang dengan dada yang sarat.
Ardell Armani menggeliat perlahan, menghela nafas panjang. Dia cuba untuk memujuk dirinya agar tenang. Tetapi gema suara ayahnya malam tadi kembali menghantui, memecahkan sisa ketenangan pagi.
“Ha.. Adel.. kebetulan kau balik ni.. boleh kau belikan motor untuk adik kau tu. Kau kan kerja elok, gaji besar.”
Nada itu bukan sekadar permintaan. Ia datang bersama tuntutan dan harapan yang terasa berat di bahu. Bukannya dia berkira. Tetapi setiap kali dia pulang, sentiasa ada saja perkara yang perlu dipikul. Tiada ucapan selamat pulang, tiada pertanyaan tentang kesihatan. Hanya tanggungjawab yang terus bertambah.
Ardell Armani menutup matanya semula, namun bayangan wajah ayahnya terus bermain di kepala. Semasa dia masih kecil dulu, dia sering cuba mencari perhatian lelaki itu dengan keputusan cemerlang di sekolah, dengan hadiah kecil dari duit simpanannya. Tapi pujian itu jarang datang. Sejak arwah ibunya tiada, jarak antara mereka semakin melebar.
Dan.. walaupun Puan Fatimah tidak pernah membezakannya, Ardell Armani tahu kasih seorang ibu tiri tidak mampu sepenuhnya menampal jurang yang ditinggalkan seorang ayah yang dingin.
Bunyi ketukan lembut di pintu memecahkan lamunannya.
“Assalamualaikum, Adel..” Puan Fatimah menyapa dengan suara yang sedikit serak namun penuh kehangatan yang menenangkan.
“Waalaikumussalam, mak. Masuklah,” balasnya, cepat-cepat bangun, lalu duduk di birai katil sambil merapikan rambut yang masih kusut.
Puan Fatimah melangkah masuk dengan sebuah senyuman yang tenang. Ditangannya ada sebuah kotak bungkusan kecil berbalut kertas pastel. Rapi dan sederhana. Seperti tuannya juga.
Ardell Armani mengerutkan dahi. Separuh pelik, separuh terharu.
“Apa ni, mak?”
“Hadiah, sikit..” jawab Puan Fatimah, duduk di hujung katil. “Mak nampak masa pergi pasar raya hari tu, terus mak teringat kat Adel. Itu yang mak beli. Tak mahal pun, tapi mak tahu, Adel pasti suka..”
Ardell Armani mengambil bungkusan itu dengan tangan yang sedikit bergetar. Ada sesuatu pada cara ibunya berkata-kata. Lembut, berhati-hati, seolah-olah bimbang kasihnya disalah erti. Dia membuka pembalut itu dengan berhati-hati, bimbang merosakkan kertas yang dilipat kemas. Saat kotak kecil itu terbuka, matanya tertangkap seutas jam tangan sederhana bertali kulit coklat, rekaannya klasik tetapi elegan.
“Cantik, mak..” ucapnya, perlahan. Ada nada sebak dalam suaranya. Dia cuba tersenyum tapi ada sesuatu yang menekan di dada. Menyentuh rasa terharu yang datang bersama ingatan tentang segala yang pernah hilang.
Puan Fatimah menepuk perlahan paha anak tirinya itu.
“Mak tahu kerja Adel tu susah. Berbulan-bulan di laut, jauh dari keluarga. Jangan fikir mak tak ingat. Adel tetap anak mak, sama macam Aleya dan Anis.”
“Terima kasih, mak..” ucapnya hampir berbisik. Kata-kata ibunya itu menyelinap ke dalam hati Ardell Armani. Dia menunduk, menatap jam itu lama.
“Adel pakai jam itu, ya. Bila tengok, ingatlah orang kat rumah yang selalu doakan Adel walau kat mana pun Adel berada.” tambah Puan Fatimah sambil mengusap bahu Ardell Armani dengan gerakan lembut yang terasa seperti belaian seorang ibu kandung.
Ardell Armani hanya mengangguk. Dia mencuba menahan sebak yang mula mencengkam jiwa. Bibirnya cuba membentuk senyuman. Namun matanya sudah mula berkaca. Dia tahu kata-kata itu ringkas, namun disebalik kesederhanaannya ada kasih yang tulus. Ia juga kasih yang tidak pernah menuntut balasan.
“Dah, pergi mandi, lepas tu turun. Aleya dah tunggu nak sarapan sama-sama..” kata Puan Fatimah sambil tersenyum kecil. Dia lalu bingkas bangun menuju ke pintu bilik, berpaling seketika sebelum kembali melangkah keluar.
“Baik, mak.” balas Ardell Armani.
Pintu yang tertutup perlahan meninggalkan sunyi yang tiba-tiba terasa hangat. Ardell Armani menatap jam itu sekali lagi. Pantulan cahaya pagi di permukaannya seperti memantul jauh ke dalam hatinya. Di celah kesunyian itu, ada ketenangan yang menenangkan jiwa. Namun jauh di dasar hatinya, masih ada luka yang belum lagi sembuh sepenuhnya. Luka yang hanya dia sendiri tahu betapa dalamnya.
****
Pagi itu, rumah mereka riuh dengan suara Aleya dan Anis. Di meja makan, Aleya sedang mengatur pil dan ubatan kedalam kotak kecil. Ubat untuk pagi, tengahari dan malam. Tangaannya cekap, terbiasa dengan rutin harian yang kini menjadi sebahagian daripada hidupnya. Namun wajahnya tetap pucat. Setiap kali dia menelan pil, Ardell Armani terasa seolah satu hela nafasnya turut hilang.
Kanser itu datang tanpa amaran. Dan sejak didiagnosis dua tahun lalu, hari-hari mereka berubah menjadi rentetan doa dan harapan yang tidak pernah padam.
Anis pula duduk dengan wajah ceria. Tangannya memegang katalog motorsikal yang dicetaknya sendiri dari internet. Gaya badannya seperti tiada apa yang membebani hidupnya. Seolah-olah dunia sentiasa berpihak kepada yang muda dan belum belajar tentang kehilangan.
“Kak Adel, tengoklah yang ni,” katanya sambil menunjukkan gambar motor berwarna biru terang. “Comel kan? kalau ada motor, Anis boleh pergi sekolah sendiri. Tak payah susahkan ayah hantar lagi.”
Aleya mengangkat kening, tersenyum kecil.
“Nanti mak yang pening kepala kau asyik main motor. Belajar rajin-rajin dulu, baru fikir pasal motor.” suaranya lembut, namun disertai batuk kecil yang cuba disembunyikan disebalik senyumannya.
Anis menjeling. Menyandarkan tubuh ke kerusi.
“Ala, Kak Adel bolehlah tolong beli, kan? Duit akak kan banyak.. janganlah kedekut sangat,” Suaranya dibuat-buat manja, seperti selalu.
Ardell Armani yang sedang mengacau kopi hanya mampu tersenyum hambar. Dia tidak menjawab, hanya memandang sekilas adiknya itu. Kata-kata itu seperti anak panah yang menikam lembut hatinya. Dia tahu, Anis masih muda. Masih melihat dunia dengan mudah. Tanpa dia sedari, semua keinginan itu boleh digapai hanya kerana seseorang mampu bekerja keras.
Namun setiap kali adiknya berkata begitu, ada sesuatu yang menekan dadanya. Seolah-olah dirinya cuma mesin pencetak wang. Bukanya seorang anak yang juga ada rasa letih dan ingin dimengerti.
Puan Fatimah menoleh.
“Anis, apa cakap macam tu. Kak Del penat kerja, bukan untuk ditambah beban. Kalau nak apa-apa minta dengan ayah,” Puan Fatimah menegur dengan lembut.
Anis kemudiannya mendengus, berpura-pura sibuk mengacau kopi yang sudah lama larut. Wajahnya yang ceria tadi bertukar masam, seolah-olah terasa dimarahi tanpa sebab. Suasana di meja makan senyap seketika. Aleya tunduk, menelan pil terakhirnya sebelum mencapai tisu. Batuk kecil kedengaran.
Puan Fatimah menghela nafas panjang. Matanya bergilir-gilir memandang anak-anaknya satu persatu. Satu bertahan dalam sakit, satu masih belajar memahami hidup dan satu lagi diam membatu di hujung meja, menanggung sesuatu yang hanya dirinya sendiri yang tahu.
Di ruang tamu, Haji Muhammad duduk di sofa, sibuk membetulkan siaran televisyen yang asyik berbunyi berdesis. Bunyi statik yang memecahkan kesunyian pagi, berselang dengan batuk Aleya dari meja makan. Ardell Armani melangkah menghampiri, tangannya masih lagi memegang cawan kopi yang sudah suam. Dia berdiri seketika dibelakang ayahnya, menimbang-nimbang sama ada wajar dia bersuara atau pun tidak. Seolah-olah takut untuk mendekati lelaki itu.
Akhirnya dia duduk disisi Haji Muhammad. Jarak mereka hanya sejengkal tapi terasa bagaikan beribu batu.
“Ayah, ada apa-apa yang ayah nak Del bantu hari ni?” soalnya lembut. Dia cuba mencari ruang untuk berbual. Sesuatu yang jarang wujud antara mereka.
Haji Mohammad tidak menoleh, hanya memicit-micit kepala remote sebelum menekan butang lain. “Tak ada apa sangat. Kalau boleh..” kata-katanya terhenti seketika, menarik nafas sebelum kembali berkata, “Pasal motor tu.. cubalah tengok-tengokkan. Anis tu manja tapi kadang-kadang kita kena ikutkan juga. Apa salahnya kamu tolong ayah sekali sekala.”
Ardell Armani diam sejenak. Kata-kata itu masuk perlahan kedalam telingannya, tetapi tidak sampai ke hati. Cawan ditangannya digenggam erat, seolah cuba menahan sesuatu daripada tumpah.
“Baik, ayah.” katanya akhirnya. Satu senyuman cuba untuk diukirkan dibibirnya walau senyuman itu tidak pernah benar-benar hidup.
Televisyen kini sudah jelas siarannya. Haji Muhammad bersandar lega, menonton televisyen tanpa menoleh kearahnya. Dalam diam, Ardell Armani memerhati sisi wajah ayahnya. Wajah yang dulu pernah menjadi tempat dia mencari teduh. Kini terasa semakin asing.
‘Ayah.. tahukah kau aku juga anak yang perlukan perhatian?’ bisik hatinya.
Namun seperti biasa, kata-kata itu hanya terperangkap di kerongkong, bersama rindu yang tidak pernah sempat dia suarakan.
****
Petang itu, langit berwarna jingga keemasan dan bayang pohon jambu di tepi pagar menjulur panjang ke tanah. Angin berhembus lembut, suara zikir petang sayup-sayup kedengaran dari surau hujung jalan. Ardell Armani bersandar pada kerusi di balkoni biliknya, memerhati dunia di bawah yang terasa begitu dekat, namun jauh daripada dirinya.
Di halaman rumah, kelihatan ayah dan maknya sedang duduk di bangku kayu menghadap kolam ikan peliharaan Haji Muhammad. Di tangan ayahnya ada secawan teh yang masih berasap, sementara maknya sedang menyiang daun kesum yang dibawa dari dapur. Suara mereka tidak kuat tapi cukup untuk sampai ke telinga Ardell Armani yang diam di atas.
“Esok kena bawa Aleya pergi hospital lagi,” suara Puan Fatimah kedengaran sayup, disusuli satu keluhan kecil. “Doktor kata minggu ni kena pantau darah dia. Nampak sihat, tapi tak boleh ambil mudah.”
“Abang dah tanya bahagian kewangan tadi. Mungkin boleh guna sedikit dari simpanan tabung haji dulu. Tak apa.. yang penting, kesihatan Aleya kita utamakan.” kata Haji Muhammad. Matanya tertumpu ke tanah.
Nama Aleya meniti lembut di antara mereka, penuh risau dan kasih. Dari atas, Ardell Armani memejamkan mata. Setiap perkataan itu menikam lembut ke dadanya. Rasa kecil, rasa jauh, rasa tidak lagi termasuk dalam bulatan yang sama.
“Ayah, Anis nak juga motor tu. Semua kawan-kawan ketawakan Anis sebab naik basikal pergi sekolah.” tiba-tiba, suara Anis memecah sunyi dari dalam rumah.
Puan Fatimah hanya ketawa kecil melihat air muka anak bongsunya yang masam. Mungkin geram diejek kawan-kawannya.
“Anis, pakai jelah basikal tu. Bukannya basikal buruk. Basikal tu baru je Kak Del belikan tahun lepas. Manja tu tidak bertempat.” Tegur Puan Fatimah.
“Nanti.. Adel belilah motor tu..”
Terdengar suara ayahnya menegur lembut, lalu disusuli rengekan yang makin panjang. Beberapa detik kemudian, tawa mereka bersatu, pecah dalam harmoni yang menghangatkan petang itu.
Dari tempatnya, Ardell Armani diam memerhati senyuman yang tidak pernah lagi menjadi miliknya. Angin menyapa pipi mulus gadis itu, membawa bersama bau teh panas dan suara tawa yang terasa begitu jauh.
****
Nota Penulis
Bab ini menunjukkan sisi sebenar hubungan Ardell dengan keluarganya. Antara tanggungjawab, kasih yang terpendam, dan luka lama yang belum sembuh. Saya ingin pembaca melihat bagaimana diamnya Ardell bukan tanda lemah, tetapi cara dia menahan diri agar tidak terus terluka.
Dalam masa yang sama, watak Puan Fatimah dan Aleya membawa keseimbangan. Kasih, pengorbanan dan harapan yang masih wujud walau dalam suasana yang dingin. Bab ini adalah cerminan realiti bahawa tidak semua keluarga sempurna, namun tetap ada kasih yang cuba bertahan di celah retak.
-MiraSha
PAGI itu bermula dengan udara yang lembap dan dingin. Sisa embun masih bergantungan di hujung daun serai di tepi dapur. Dari celahan jendela, cahaya matahari menembus lembut, menari di atas lantai marmar yang masih sejuk. Rumah itu sunyi. Anis sudah ke sekolah sejak awal pagi dan Haji Muhammad pula ke kebun seperti biasa, membawa parang dan topi jerami kesayangannya. Hanya kedengaran bunyi kicauan burung yang bertandang di pohon jambu belakang rumah.
Di dalam rumah, suasana sedikit berbeza. Aleya terbaring di sofa dengan tuala basah di dahi. Wajahnya pucat, matanya kuyu namun masih berusaha tersenyum setiap kali ibunya datang menjenguk. Di dapur, Puan Fatimah sibuk menyediakan bubur nasi dan air suam. Ardell Armani pula perlahan mendekati Aleya untuk melihat keadaan adiknya itu.
“Mana mak?” suara Aleya perlahan, serak. Selalunya, Puan Fatimah yang akan membantunya setiap pagi. Menyediakan tuala basah dan air suam sebelum dia bangun dari pembaringan.
“Mak tengah masak bubur. Mari, akak bantu Ya cuci muka,” jawab Ardell Armani lembut sambil menarik kerusi kecil ke sisi sofa.
“Hmm..” Aleya mengangguk, matanya separuh terpejam.
“Masih panas..” Ardell Armani meletakkan tangannya di dahi Aleya. Kulitnya terasa hangat, dan peluh halus mula muncul di pelipis. “Ya, akak pergi ambil air dan tuala kejap, ya.”
Beberapa minit kemudian, Ardell Armani kembali dengan sebesen kecil air suam dan sehelai tuala putih. Dia duduk berhati-hati di sisi Aleya, mencelup tuala ke dalam air dan memerahnya perlahan sebelum mengelap muka dan leher adiknya. Setiap gerakannya penuh cermat, seolah-olah takut menyakitkan tubuh yang lemah itu.
Tanpa disedari, sewaktu mengelap badan Aleya, air mata bertakung di mata Ardell Armani. Melihat tubuh adiknya yang semakin kurus dan pucat membuatkan dadanya sesak. Namun sebelum air mata itu menitis ke pipi, dia cepat-cepat mengesatnya dengan belakang tangan. Ardell Armani tidak mahu menunjukkan air matanya di hadapan Aleya.
“Akak menangis ke?” tanya Aleya separuh berbisik, senyum kecil bermain di bibir pucatnya.
“Taklah. Habuk masuk mata akak je..” jawab Ardell Armani pantas, cuba berlagak biasa. “Ya, pakai baju dulu. Lepas tu kita sarapan..” suarannya sedikit bergetar sebelum dia cepat-cepat beralih ke bilik air.
Beberapa minit kemudian, Ardell Armani membantu Aleya ke meja makan. Di atas meja sudah terhidang nasi lemak bungkus yang dibelikan Haji Muhammad, bersama semangkuk bubur panas yang baru diangkat dari dapur.
“ Morning, sayang. Mari, mak ada buatkan bubur istimewa untuk Ya,” ujar Puan Fatimah dengan senyuman lembut.
“Terima kasih, mak.” jawab Aleya.
“Ya, macam mana hari ni?” tanya Puan Fatimah sambil menghulurkan sudu ke tangan anaknya.
“Kepala Ya pening.. tapi tak apa-apa,” balas Aleya lagi. Masih berusaha untuk senyum.
Ardell Armani yang duduk di sisi hanya memerhati, kemudian bersuara. “Demam Ya masih tinggi. Del rasa Ya tak boleh sambung rawatan selagi tak sembuh.”
Aleya diam sejenak, matanya tunduk ke mangkuk bubur.
Kemudian dia bersuara perlahan, hampir berbisik, “ Mak.. Ya tak nak jalani kimoterapi lagi dah.”
Puan Fatimah terhenti. Wajahnya berubah, terkejut.
“Kenapa, ya?”
Aleya menggigit bibir, matanya berkaca.
“Sakit, mak..” suaranya bergetar, hampir tidak kedengaran.
“Setiap kali lepas rawatan, Ya rasa macam tubuh ni bukan tubuh Ya lagi.”
Puan Fatimah menggenggam tangan anaknya erat, menahan sebak yang tiba-tiba menjalar ke dada. Sementara Ardell Armani memandang wajah Aleya yang kelihatan lemah, tetapi matanya masih menyimpan sinar yang sama. Sinar yang tidak pernah padam walau tubuhnya semakin susut. Perlahan, dia menghela nafas panjang sebelum bersuara. Nada suaranya tenang namun bergetar di hujung kata.
“Ya..” panggilnya dengan nada yang lembut. “Akak tahu Ya penat. Akak tahu semua rawatan tu menyakitkan. Tapi tolong jangan berhenti berjuang.”
Aleya memandangnya sambil berkata, “ Tapi, akak.. Ya tak sekuat akak. Setiap kali balik dari hospital Ya rasa nak menyerah je,”
Ardell Armani menelan liur. Dia cuba menahan emosi yang mula meruak di dada.
“Dengar sini, Ya. Kekuatan tu bukan bila kita tak pernah jatuh.. tapi bila kita tetap bangun walaupun dah tak larat,” katanya.
“Akak tengok Ya, setiap hari Ya senyum, Ya belajar, Ya cuba buat benda macam biasa.. itu pun dah buktikan yang Ya kuat.”
Air mata Aleya menitis tanpa dapat ditahan.
“Tapi kalau nanti Ya tak sempat, akak..”
“Jangan cakap macam tu,” potong Ardell Armani cepat, suaranya tegas tapi lembut. “Selagi Ya masih hidup, Ya masih ada peluang. Jangan fikir apa yang akan terjadi nanti. Fikir hari ni. Hari ni Ya masih boleh senyum, masih boleh makan bubur mak, masih boleh marah akak sebab kacau Ya tidur..”
Aleya ketawa kecil di antara esakan, suaranya serak. “Akak ni.. pandai betul bagi semangat macam dalam drama.”
“Bukan drama, Ya. Ini hidup sebenar. Dan dalam hidup sebenar, kita kena teruskan walaupun takut.”
Dia menyapu air mata di pipi Aleya dengan ibu jarinya.
“Akak janji, akak takkan biarkan Ya lawan seorang diri. Kalau Ya jatuh, akak akan tarik Ya naik semula. Sebab itu tangunggjawab akak sebagai kakak sulung, kan?”
Aleya hanya mengangguk, manja. Dalam hatinya dia tahu, kata-kata Ardell Armani itu bukan sekadar pujukan. Ia doa yang diucapkan sepenuh jiwa.
Puan Fatimah yang sejak tadi berada di sisi Aleya, memerhati dalam diam. Suara Ardell Armani yang lembut menasihati dan wajah Aleya yang pucat namun masih tersenyum membuatkan dadanya terasa sebak. Dia tidak sanggup menatap terlalu lama. Setiap perkataan yang keluar dari mulut anak sulungnya itu seperti anak panah yang menembus hatinya sendiri. Air mata yang bertakung segera diseka, konon mahu mencapai tisu di kaunter dapur, sedangkan sebenarnya ingin menenangkan diri.
“Ya Allah.. kuatkanlah anak-anakku. Jangan ambil salah seorang pun sebelum sempat mereka merasa bahagia.”
Dan pagi itu, di antara aroma bubur panas dan sinar mentari yang lembut di tingkap dapur, dua beradik itu duduk berpegangan tangan. Dalam diam saling menguatkan, walaupun hakikatnya keduanya sama-sama terluka.
****
Tengah hari itu, matahari berdiri tegak di langit, cahayanya bersinar terik. Namun tidak sehangat hati Ardell Armani yang masih bersisa gusar sejak petang tadi. Dia memakirkan keretanya berhampiran sebuah kafe di pinggir bandar. Kafe yang berkonsepkan mini desa yang menggabungkan suasana desa dan citarasa moden itu selalu menjadi ruang untuknya mencari ketenangan. Dari luar bau aroma masakan warisan seperti laksa, rojak ayam dan roti bakar terapung di udara, menyambut setiap pelanggan dengan kehangatan yang sukar dijelaskan.
Di sudut paling tepi dan agar terpisah dengan meja-meja lain, Farah sudah menunggu. Gadis itu melambai kecil dengan senyuman. Gadis itu bergelar seorang doktor di sebuah hospital di bandar, tidak jauh dari kawasan pejabat operasi syarikat Ardell Armani berkerja. Sejak dulu, Farah sentiasa menjadi tempat pulang bagi Ardell Armani bila jiwa terasa sesak. Ada waktunya dia bermalam di rumah temannya itu hanya untuk mencari sedikit ruang dari hiruk-pikuk rumah sendiri.
Farah tidak pernah berubah. Penampilannya selalu nampak tenang, matang dan memancarkan wibawa lembut yang menenangkan sesiapa di sekelilingnya.
“Lama tak jumpa,” sapa Farah sambil menurunkan cawan kopi
dari bibir. “Kau nampak penat, Del.”
Ardell Armani menarik kerusi perlahan, duduk sambil melepaskan nafas yang terasa berat. “Mungkin sebab dah terlalu lama aku berpura-pura kuat,” jawabnya, Ardell Armani tersenyum nipis. Di matanya, ada sesuatu yang belum sempat
diluahkan. Sesuatu yang menunggu masa untuk pecah.
Dia termenung sejenak, menggenggam cawan panas di depannya. Wap kopi naik perlahan mengelus lembut wajahnya yang kelihatan letih dan sendu. Dia cuba mengawal suara. Tetapi setiap kali bibirnya terbuka, emosi yang lama disimpan seperti mahu melimpah keluar.
“Aku rasa.. aku tak mampu lagi, Farah.” bisiknya bersama keluhan berat. “Di rumah, aku perlu kuat. Mak dan ayah dah cukup susah hati dengan keadaaan Aleya. Aku tak nak tambah lagi beban mereka.” dia berhenti seketika sebelum kembali menyambung kata-katanya. “Tapi jauh di sudut hati, aku penat menjadi orang yang semua orang sangka kuat.”
Farah memandangnya penuh perihatin.
“Tentang Aleya, aku faham. Dia sakit, aku sendiri risaukan keadaan dia. Anis pula semakin menjadi-jadi, asyik minta itu ini. Tapi aku? Aku hanya tempat untuk menggalaskan tanggungjawab, untuk penuhi semua itu. Aku bukannya minta aku ni di sanjung, cuma nak sedikit dari perhatian itu sahaja. Aku cuma nak rasa menjadi anak yang masih ada tempat di hati ayah.”
Farah tidak segera membalas. Dia tahu kata-kata seperti itu lahir daripada luka yang tertanam. Akhirnya dia berkata dengan nada lembut,
“Dell, bukan semua kasih sayang ditunjuk dengan pelukan. Kadang ayah kau nampak diam sebab dia terlalu takut kehilangan yang lain. Sebab itu dia didik kau untuk jadi seorang yang kuat. Tanpa dia sedar yang kau pun boleh hilang, dalam diam.”
Air mata Ardell Armani bergenang tetapi dia tetap tersenyum, pahit.
“Mungkin sebab aku bukan anak mak. Mungkin sebab aku bukan yang sakit atau mungkin sebab aku bukan yang nakal. Jadi aku tak perlu dijaga.”
Farah menggeleng perlahan.
“Kau ni bukan tak perlu dijaga, Del. Kau cuma dah terlalu pandai jaga semua orang. Sampai kau lupa caranya untuk jaga diri sendiri. Tapi kau kena ingat, Del. Sekuat mana pun seseorang itu tetap ada hadnya. Jangan sampai kekuatan kau ni menjadi alasan untuk orang lain terus abaikan perasaan kau.”
Ardell Armani tunduk, menatap cawan di tangannya. Ada kelegaan kecil dalam hatinya, tapi juga rasa hampa yang tidak sepenuhnya hilang. Dia tahu Farah betul. Tapi bagaimana mahu memberitahu seorang ayah bahawa anak yang selalu nampak tenang itu sebenarnya sedang perlahan-lahan tenggelam?
Tanpa disedari matahari sudah pun condong rendah, sinarnya menembusi ruang kafe. Menerbitkan warna jingga lembut pada meja tempat mereka duduk. Suasana semakin senyap. Hanya bunyi sudu berlaga pada cawan dan muzik perlahan yang mengisi ruang kosong antara mereka.
Ardell Armani diam, jari-jemarinya bermain dengan pemegang cawan yang sudah sejuk. “Selalu sangat aku rasa.. aku cuma bayang dalam rumah itu, Farah. Semua nampak aku, tapi tak ada siapa yang betul-betul nampak apa yang aku rasa.” suaranya bergetar, seperti takut pada kebenaran sendiri.
“Del, tak semua kekuatan itu perlu disedari orang lain. Kadang, orang yang paling senyap tulah yang selalu menyelamatkan keluarga tanpa disedari.” kata Farah sambil memandangnya lama, kemudian menggenggam tangan Ardell Armani di atas meja seolah cuba menyalurkan kekuatannya.
Air mata yang cuba Ardell Armani tahan akhirnya menitis, cepat-cepat dia sapu sebelum sempat jatuh ke pipi. Farah tidak berkata apa-apa lagi, hanya menepuk lembut tangan sahabatnya itu. Di luar, langit bertukar warna unggu tua, awan senja berarak perlahan seperti turut memahami diam mereka.
“Aku penat, Farah,” bisik Ardell Armani. “Tapi aku tak sanggup tengok mereka susah.”
Farah tersenyum kecil, matanya lembut.
“Aku tahu, Del.. sebab tu aku juga tahu, kau bukan sekadar kuat. Kau setia. Dan orang yang setia macam kau, jarang ada. Tapi sentiasa terluka dalam diam.”
Ardell Armani tersenyum hambar, memandang ke luar kafe di mana cahaya senja semakin pudar. Dalam hati, dia tahu. Walau seberapa dalam rasa tersisih itu, dia tetap akan pulang. Tetap akan menjadi yang kuat.
Kerana begitulah caranya dia mencintai. Dalam diam, dalam setia, dan dalam sepi yang hanya dia sendiri yang mengerti.
****
Bau gulai lemak ikan masin masih lagi melekat di ruang tamu. Selepas makan malam, keluarga mereka berkumpul santai di depan televisyen. Aleya duduk bersandar pada sofa dengan buku catatan di pangkuannya. Walaupun tubuhnya kelihatan lemah kerana masih lagi demam, wajahnya pucat tapi tetap tenang.
Tangannya cekap menulis nota sambil mendengar kuliah rakaman dari telefon bimbitnya.
“Tak penat ke, Ya?” suara Ardell Armani lembut, matanya memadang adiknya.
Aleya hanya menggelengkan kepalanya.
“Betul tu, Ya. Kalau penat rehatlah.” kata Puan Fatimah dengan nada penuh risau.
“Biasa je, mak. Kalau asyik fikirkan penat, memang tak belajarlah jawabnya.” jawab Aleya tersenyum nipis. “Lagipun esok ada kuiz online. Nak juga rasa normal macam kawan-kawan yang lain.”
Ardell Armani yang duduk berdekatan memerhati Aleya yang masih tekun dengan rakaman kuliahnya itu. Ada sesuatu yang menusuk hatinya. Aleya, walaupun sedang sakit. Masih mampu meyakinkan orang lain bahawa semuanya baik-baik sahaja.
“Kalau Ya sihat,” Aleya tiba-tiba menoleh ke arah Ardell Armani, senyumnya lembut. “belum tentu Ya sekuat Kak Del.”
Ardell Armani terkedu sejenak. Dia membalas senyuman untuk menyembunyikan rasa sebak yang tiba-tiba muncul.
‘semua nampak aku kuat.. jadi siapa yang akan nampak aku
lemah?’
Ketika itulah pintu utama dibuka dengan kasar. Anis muncul dengan beg sekolah terheret ke lantai.
“Ayah.. cikgu marah lagi hari ni sebab Anis tak siapkan kerja rumah!” Dia mencampak beg ke sofa, wajahnya merajuk seperti biasa.
“Anis!” suara Haji Muhammad keras, membuatkan suasana sunyi seketika. “Belajar betul-betullah. Asyik nak main telefon je, kerja rumah tu tak pernah siap!”
“Bukan salah Anis, ayah. Cikgu tu je yang cerewet!” Anis membalas, suaranya meninggi.
Ardell Armani menahan nafas. Dia sudah terbiasa dengan drama kecil adiknya itu. Namun seperti biasa, kemarahan ayahnya cepat reda.
“Dahlah, jangan banyak alasan. Belajar elok-elok. Nanti ayah bagi apa yang Anis nak. Asalkan jangan malas.” Nada ayahnya berubah lembut.
Puan Fatimah menghela nafas panjang, cuba untuk menenangkan keadaan.
“Anis, duduklah sini. Esok mak tolong semakkan kerja sekolah kamu.”
Anis mencebik, tapi kemudian bersandar manja di sisi ayahnya. Tidak sampai seminit, rengeknya berganti tawa kecil apabila Haji Muhammad mengusap rambutnya perlahan.
Ardell Armani menatap adegan itu dalam diam. Di matanya, semuanya tampak sempurna. Rumah yang damai, keluarga yang harmoni. Tapi di dalam dada, ada sesuatu yang menjerut hati. Dulu.. dia juga pernah kena marah. Hanya kerana balik lewat selepas latihan bola jaring di sekolah. Dia masih ingat wajah ayahnya yang masam, suara garangnya yang menggetar ruang tamu.
“Sibuk sangat main bola tu sampai lupa rumah, ya?”
Dia cuba menjelaskan. Ada mesyuarat pasukan, ada persiapan untuk pertandingan daerah. Tapi ayahnya tidak mahu mendengar. Dan tidak ada sesiapa pun yang membelanya.
“Kalau nak sangat menang, menanglah untuk diri sendiri. Jangan sampai lupa tanggungjawab.”
Waktu itu, Ardell Armani sedang berdiri di tangga, menggenggam kasut sukan yang masih berdebu. Dia cuba menahan air mata yang mahu tumpah. Tak ada yang memujuk. Tak ada yang bertanya. Sejak malam itu, dia belajar bahawa diam lebih selamat daripada menjelaskan apa-apa. Bahawa kekuatan kadang-kadang bukan pilihan tetapi benteng untuk bertahan.
Kini, dari sudut ruang tamu, dia melihat ayahnya ketawa kecil bersama Anis. Ibunya tersenyum lembut dan Aleya yang memerhati dengan mata kasih. Semuanya kelihatan indah. Tapi di dalam hati Ardell Armani, kenangan lama mengetuk semula, mengingatkan bahawa tidak semua kasih dapat dirasai pada waktu yang sama.
Dia tunduk, tersenyum nipis. Senyum yang hanya dia tahu maksudnya.
‘Mungkin.. aku ini memang tidak ada yang risaukan,’
Larut malam Ardell Armani kembali ke bilik, dia melangkah ke balkoni. Angin malam menyapa lembut wajahnya. Di bawah cahaya lampu jalan yang samar, dedaun di halaman berayun perlahan. Seakan turut bernafas dalam kesunyian.
Dari jauh sayup-sayup kedengaran suara Aleya batuk kecil, disusuli suara lembut Puan Fatimah yang memujuk penuh cemas. Di ruang tamu, suara Anis masih bersahut dengan ayahnya tentang ‘motor idaman’ yang menjadi topik tetap setiap malam. Bunyi-bunyi kecil itu mencipta irama rumah tangga yang hidup.
Hangat, mesra, dan penuh kasih.
Ardell Armani sekali lagi tersenyum hambar. Dia bahagia melihat keluarga yang begitu dekat, begitu saling mengisi antara satu sama lain. Namun dalam kehangatan itu.. ada dingin yang hanya dia yang rasa. Ada ruang kosong yang makin dalam, ruang yang tidak pernah terisi walau dengan kasih atau perhatian yang paling ikhlas sekalipun.
‘Ya, anak sakit yang harus dijaga. Anak bongsu yang harus di manja. Aku?” bisiknya. Pandangannya ditujukan ke langit gelap yang bertaburan bintang.
‘Aku cuma anak sulung yang kuat. Yang tak perlu dijaga sesiapa.”
Angin berhembus sekali lagi, menyentuh lembut pipinya. Dingin tapi nyaman. Seolah ingin memujuknya, seolah mahu berkata bahawa kekuatan juga satu bentuk kasih yang diam-diam menyala. Tapi Ardell Armani tahu, sepi itu tetap ada, berakar dalam dirinya.
****
Nota Penulis
Bab ini menggambarkan sisi lain kekuatan, bukan hanya pada mereka yang sedang sakit, tetapi juga pada yang terpaksa menjadi kuat untuk semua orang. Ardell Armani mewakili suara yang sering terpinggir, yang menanggung tanpa pernah diminta bertanya “siapa pula yang menjaga aku?”. Melalui bab ini, saya ingin pembaca memahami bahawa setiap senyum dan ketenangan seseorang mungkin terselit perjuangan yang panjang. Kadang, orang yang paling kuat bukan kerana mereka tidak lemah, Tetapi kerana mereka memilih untuk terus bertahan walau tiada siapa yang melihat.
- MiraSha
Download NovelToon APP on App Store and Google Play