NovelToon NovelToon

Aku Tak Punya Kekuatan, Tetapi Mereka Memiliku'

PROLOG

Langkah-langkah kecil itu menjejak tanah hutan yang dingin, dipenuhi lumpur dan dedaunan yang basah. Suasana malam tidak memberi belas kasihan—langit bergelora, dihiasi awan hitam pekat yang menyembunyikan bulan seolah-olah ia pun tidak sanggup melihat dunia malam ini. Bayang-bayang panjang menari-nari di belakang, bersatu dengan jeritan angin dan sinar api yang menari di antara batang pokok.

Dia berlari.

Bukan kerana tahu ke mana harus dituju, tetapi kerana tahu apa yang sedang ditinggalkan. Dunia di belakangnya bukan lagi rumah—ia telah berubah menjadi tempat yang penuh kebencian dan ketakutan. Dan ketika hati tidak lagi diterima, kaki terpaksa memilih jalan yang tak dikenali.

Nafasnya tercungap-cungap, dada terasa sempit seolah-olah udara sendiri enggan masuk ke paru-paru kecilnya. Lututnya hampir rebah, namun dia tetap memaksa diri. Kaki kecil itu melangkah, melompat, menerobos semak berduri, akar yang menjalar seperti tangan-tangan nakal, dan cabang pokok yang menggores kulitnya. Setiap hela nafas terasa seperti menelan pisau, setiap langkah seperti menentang arus sungai yang deras.

Namun dia tidak berhenti.

Tidak boleh.

"Jangan tangkap aku..." bisik hatinya, lebih kepada doa daripada harapan. Hanya kata-kata dalam diam, tetapi ia seolah-olah menahan dunia daripada runtuh di sekelilingnya.

Api dari kampung yang ditinggalkan semakin jauh, cahayanya makin pudar ditelan hutan. Namun bayang-bayang ketakutan tidak pernah hilang. Ia tinggal, menetap dalam dada kecil itu. Hutan yang sepi kini menjadi tempat perlindungan—dan dalam masa yang sama, penjara. Setiap bunyi ranting patah, setiap desir daun, menghidupkan bayangan orang-orang yang membencinya.

Di bawah sebatang pohon tua yang akarnya menjalar keluar seperti tangan makhluk purba, tubuh kecil itu akhirnya tumbang. Dia terjatuh, terduduk di antara akar dan lumpur. Diam. Dunia seakan terhenti. Hanya degup jantung dan nafasnya yang berat yang masih terdengar.

Dia menggigil—bukan hanya kerana sejuk malam yang menembusi kulit, tetapi kerana luka yang tak terlihat. Luka yang tidak mengalirkan darah. Luka yang tertanam jauh dalam hati. Dibuang. Diusir. Dilupakan. Baginya, dunia tidak pernah memberi peluang untuk membuktikan bahawa dia layak untuk disayangi.

"Adakah aku benar-benar tiada nilai?" fikirnya. Soalan itu terngiang di kepalanya, terapung dalam gelap seperti kabus yang tidak mahu hilang.

Air mata jatuh tanpa suara. Bukan kerana lemah, tetapi kerana kelelahan.

Namun di tengah sunyi yang menakutkan itu, dia mula menyedari sesuatu.

Kesunyian tidak seburuk yang dia sangka.

Kerana dalam gelap, suara yang tidak pernah didengari oleh orang lain mula berbicara. Ranting-ranting kecil di tanah seolah berbisik. Angin malam membawa suara halus bunga liar yang tumbuh bersendirian. Hutan tidak diam—ia hidup, dan kini, ia menyambutnya.

Di celah daun gugur yang membentuk selimut alam, seekor makhluk kecil—lemah, basah, hampir mati—menatapnya. Mata makhluk itu redup, penuh ketakutan, tetapi ada sesuatu yang lain... harapan.

Dia merangkak perlahan, menghulurkan tangan.

Makhluk itu tidak lari. Malah, ia mendekat, menyentuh jarinya dengan lembut.

Dan untuk pertama kali malam itu, dia tidak merasa sendiri.

Malam masih panjang. Dingin masih mencengkam.

Tapi hatinya...

Tidak lagi kosong.

Kerana ada sesuatu yang menemaninya hingga ke arah yang selamat dan damai.

Damai yang membuat ia selamat

CHAPTER 1:Langit Biru,Mata Yang Buta

Matahari memanjat langit perlahan-lahan, menembus dedaunan tebal dan membiaskan cahaya keemasan ke seluruh hutan. Angin menyapu perlahan tetapi tetap kuat, menggoyangkan pucuk-pucuk pokok dan menyanyikan lagu sunyi yang hanya difahami oleh mereka yang hidup tersembunyi.

Di atas sebatang dahan besar milik pohon purba di tengah hutan, duduk seorang budak perempuan kecil—diam, tenang, dan waspada. Rambutnya berwarna biru muda seperti langit cerah, panjang dan tidak terurus. Matanya tidak sepadan—sebelah kiri biru gelap, dalam dan penuh rasa ingin tahu. Mata kanannya, sebaliknya, kosong dan kelabu—buta sejak lahir.

Bajunya kotor, penuh lumpur dan kesan darah kering. Namun wajahnya tidak menampakkan ketakutan. Hanya kelelahan dan rasa biasa akan luka. Namanya Anna. Baru berusia lapan tahun. Terlalu muda untuk dihantui dunia, tetapi terlalu tua untuk percaya pada keajaiban dongeng lagi.

“Pagi yang cerah,” bisiknya sendiri sambil memandang langit dari celah dedaunan.

Dia memerhati bawah dari tempat persembunyiannya. Gerak-gerinya senyap seperti burung liar, memeriksa keadaan sekeliling. Apabila yakin tiada ancaman, dia perlahan-lahan turun dari dahan dan mendarat di tanah dengan ringan.

Jalan di tengah hutan itu sunyi, dilapisi akar-akar bersilang dan lumut tebal. Di tangannya tergenggam erat sehelai peta tua, compang-camping, hampir tidak terbaca. Namun Anna menghafal bentuk jalan di mindanya—kerana di dunia ini, kesilapan kecil boleh membawa maut.

Dia berjalan perlahan-lahan, langkahnya ringan namun berhati-hati. Di bahunya tergantung beg kecil berwarna kelabu. Kelihatan biasa, tapi ia sebuah beg sihir—pemberian seseorang yang pernah disayanginya. Ia mampu menyimpan barang tanpa batas, seolah dunia kecil tersembunyi di dalamnya.

Tidak lama kemudian, langkahnya terhenti di hadapan timbunan sampah.

Tumpukan barangan buangan itu terletak di pinggir laluan: kotak-kotak kayu pecah, beg berlubang, sisa makanan, dan senjata berkarat. Bau logam berkarat dan busuk memenuhi udara. Namun bagi Anna, tempat ini adalah permata tersembunyi.

Matanya bersinar. “Mungkin hari ini aku bertuah.”

Tangannya meraba antara kotak-kotak rosak. Debu berterbangan, menyakitkan hidungnya, tetapi dia tidak peduli. Tiba-tiba dia berhenti. Di satu sudut kotak, dia menemukan botol-botol kecil berisi cecair hijau lembut.

Dia tersenyum lebar.

“Wow… poison penawar!” katanya gembira, memeluk botol-botol itu erat.

Walaupun warnanya menakutkan, Anna tahu ini adalah penawar luka ringan. Dapat sepuluh botol adalah keajaiban bagi seorang sepertinya.

Dia menyimpan semuanya ke dalam beg sihirnya dengan penuh syukur. Luka kecil di kakinya berdenyut, namun dia tidak menangis. Dia sudah lama berhenti menangis kerana luka. Tangisan hanya menarik perhatian.

Ketika dia hendak memeriksa sampah lainnya, bunyi langkah kaki terdengar dari jauh.

Duk… duk… duk…

Bunyi tapak kaki dan bisikan lelaki. Suara itu terlalu dekat. Anna panik dan segera menyelinap ke belakang sebuah troli kuda yang sudah tua dan reput, berlubang-lubang dan hampir roboh.

Dia menahan nafas, menyempitkan tubuh kecilnya di balik roda.

Tiga orang lelaki muncul dari celah pokok. Pakaian mereka menunjukkan mereka datang dari kampung—kampung yang pernah menjadi tempat tinggal Anna. Salah seorang mengangkat pedang berkarat, memeriksa, lalu membuangnya ke timbunan.

“Apa budak itu masih hidup?” tanya salah seorang.

“Dia takkan tahan lama. Hutan ni bukan tempat untuk budak macam dia,” jawab yang lain, ketawa kecil.

Lelaki ketiga, berwajah bengis dan berparut di pipi, menghentak tanah.

“Kalau jumpa budak perempuan tu—tangkap dia. Jangan bagi dia lari lagi.”

Anna menggigit bibir. Dadanya sesak. Dia kenal suara itu. Mereka dari kampung lamanya—orang-orang yang menganggapnya beban. Yang menuduhnya pembawa sial. Yang mahu menghapuskan dia.

Dia menggigil, bukan kerana sejuk, tetapi kerana kenangan. Kenangan malam ketika dia dibuang. Ketika mereka menjerit padanya, “Kau tak berguna!”

Ketika ibu angkatnya berpaling dan berkata, “Jangan kembali lagi.”

Dia memejam mata. Tidak, dia tidak boleh ditangkap. Tidak boleh kembali.

Ketika mereka berjalan menjauh, Anna tidak membuang masa. Dia bangun perlahan-lahan dan mula berlari—tanpa suara, tanpa henti. Jantungnya seperti hendak meletup, tetapi dia tidak berhenti.

Laluannya tiada arah. Tapi lebih baik tersesat daripada kembali.

Dia berlari dan berlari sehingga cahaya matahari makin tinggi dan tubuh kecilnya mula menggigil keletihan. Akhirnya, dia berhenti di bawah sebuah pokok dan rebah ke tanah.

Di situ, dengan debu di pipi dan peluh di dahi, dia berbisik,

“Aku tak punya kekuatan… tapi aku masih hidup.”

Dan selama dia hidup, dia akan terus melangkah.

CHAPTER 2: TEMAN PERTAMA BERNAMA NALA

Anna sudah berjalan selama entah berapa hari. Jejak-jejak kecilnya menyusur tanah berlumpur, melewati akar pohon yang menjalar seperti tangan-tangan diam yang ingin meraih. Dia sudah jauh dari tempat dia berlari. Hanya hutan dan langit yang tahu betapa kecil dan sunyinya dia di dunia ini.

Perutnya berkeroncong, meminta sesuatu yang tak ada. Sudah lama dia tidak makan makanan sebenar. Hanya air hujan dan buah liar yang kadang-kadang dia jumpa di pinggir hutan. Namun Anna tidak menangis. Dia sudah terlalu biasa dengan rasa lapar.

Hari itu langit terbuka luas, seolah dunia ingin memberinya sedikit harapan. Rumput-rumput hijau tinggi melambai lembut dalam angin. Di antara celah dedaunan, cahaya matahari jatuh seperti benang emas, menari di atas tanah.

Anna berjalan perlahan, matanya separuh tertutup kerana penat. Tapi ketika itu... sesuatu menarik perhatiannya.

Di antara semak rendah dan rumput tinggi, ada satu makhluk kecil—seperti batu permata biru—berkilau terang di bawah cahaya matahari. Makhluk itu bergerak perlahan, bentuknya bulat dan kenyal, hampir jernih seperti air. Di dalamnya, kelihatan aliran seperti sungai kecil yang mengalir perlahan.

Anna terpaku. Matanya membesar. Mulutnya sedikit terbuka, dan untuk pertama kalinya hari itu, dia tersenyum.

"Lihat tu..." bisiknya perlahan, seolah takut suaranya akan menakutkan makhluk itu.

Dia merangkak perlahan, menghampiri slime kecil itu. Makhluk itu tidak lari. Hanya bergetar sedikit, seperti menyambut kehadirannya.

Anna duduk, membuka beg magic kecilnya dan mengeluarkan sebuah buku lusuh—buku tentang haiwan dan monster. Kulitnya sudah retak dan pudar, tapi masih cukup untuk dibaca. Dia membuka halaman demi halaman, mencari makhluk yang menyerupai apa yang dia lihat.

“Aha!” katanya, jari kecilnya menunjuk gambar slime biru kecil di satu halaman.

Dia membaca dengan suara rendah, penuh rasa ingin tahu. “Slime jenis ini sangat lemah… tidak punya pertahanan, tidak boleh melawan, dan mudah mati jika terkena benda tajam... atau bahkan ditiup angin terlalu kuat…”

Anna memandang semula slime itu. Ia masih di situ. Tenang. Diam. Hanya aliran air di dalam tubuhnya yang bergerak, seolah hidup dengan caranya sendiri.

“Kau sangat lemah, ya… macam aku,” katanya perlahan.

Tangannya mengelus permukaan slime itu. Ia dingin dan lembut, seperti menyentuh permukaan air. Tapi tidak ada rasa takut. Malah, Anna rasa... nyaman.

Dia tertawa kecil, sesuatu yang sudah lama tak dia rasakan. “Aku akan jaga kau. Nama kau…” dia memikir sejenak, “...Nala. Bunyi tu comel, kan?”

Slime itu bergetar sedikit, seolah menjawab.

Dengan hati-hati, Anna mengambil kain kecil dari begnya dan membalut Nala seperti anak kucing. Dia letakkan Nala ke dalam satu ruang khas dalam beg magicnya—beg yang boleh menyimpan benda tanpa had, dan menjaga suhu serta keselamatan isinya.

Anna memeluk beg itu dengan erat, seolah memeluk teman pertamanya dalam dunia yang asing ini.

Langkahnya kembali ringan. Lapar masih ada, luka-luka di kakinya masih belum sembuh, tapi kini hatinya punya sesuatu yang baru: harapan.

Dia memegang hatinya dengan eratnya kerana dia tidak perlu takut akan sendiriannya semasa berjalannya ke tujuannya itu

Dia melihat Nala dengan gembiranya seperti 'ibu yang menjaga anaknya yang sakit'.

Dia terus berjalan, kali ini tidak lagi sendirian.Tetapi dia bersama dengan kawan barunya yang baru dijumpai.

Download MangaToon APP on App Store and Google Play

novel PDF download
NovelToon
Step Into A Different WORLD!
Download MangaToon APP on App Store and Google Play