Setelah dua kali aku bermimpi aku berkahwin, aku tekad membuat solat hajat serta solat istikharah. Aku cuba mencari maksud mimpiku itu, namun pelbagai tafsiran di internet membuatkan aku makin keliru dan resah. Ada yang kata dimurahkan rezeki ada yang kata akan sibuk dan ada juga yang kata ajal makin hampir, astagfirullah! Itu yang aku takutkan. Belum cukup amalan untuk aku bawa. Allah, panjangkan umurku.
Sudah seminggu hal itu berlalu, hari ini, sebaik pulang daripada mengajar, penuh kereta diperkarangan rumah. Mak buat kenduri ke? Debaran dihati terjawab, benar telahan ‘gatal’ aku waktu dalam kereta, orang datang meminang!
“Dah ada kata putus?” Suara mak mengejutkan aku yang sedang menelek cincin belah rotan itu. Aku hanya tersenyum memandang ibu.
“Dah, tapi mak macam mana? Okay ke?” Mak menarik tanganku dan menggosok perlahan dan penuh kasih sayang.
“Mak dah lama tunggu masa ni. Semua adik beradik atas Aishah semua dah kahwin, Aishah aje belum. Dah 30 tahun umur kamu, dah sesuai dan patut.” Aku tersengih malu. Terlupa usianya dah mengjangkau 30 tahun bulan lalu.
“Lupa.” Ujarku. Mak menarik hidungku.
“Tu lah kerja aje. Tak pikir masa depan.” Aku menjuih bibir. Bukan tak fikir, tak ada calon.
“Cakap-cakap jugak, setuju tak?” Mak menyoal lagi, dengan malu-malu aku mengangguk perlahan. Mak mengucap syukur, dan menyarung cincin belah rotan itu ke jari manisku. Aku membelek jariku yang tersarung cantik dengan cincin tanda itu. Mak mula melangkah keluar dari bilikku.
“Eh, mak…”
“Apa lagi Aishah?” Mak berkerut dahi melihat aku tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Gambar bakal suami Aishah takde?” Mak ketawa kecil, aku pula berkerut dahi.
“Kamu ni Aishah, hari tu dia datang sekali kan? Tak tengok ke?” Mak masih dengan sisa tawanya.
“Ada ke? Tak perasan la Mak, yang mana?” Mak menggeleng perlahan melihat aku yang tergaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Yang duduk dekat dengan pintu tu, yang tengok kamu tak kelip tu?” aku ternganga.
“Yang gelap tu eh Mak?” Mak bantai gelak besar.
“ Dah setuju kan, ye lah gelap sikit, tapi badan besar tu…” Mak mengusikku lagi. Aku mencebik lagi. Tak payah gambar pun dah cam. Serius, tak senyum. Macam terpaksa kahwin aje. Tapi tak nafi memang ‘tough’! I loike!
………………………………………
Majlis berjalan seperti yang aku inginkan. Disebabkan faktor usia, aku tidak mahu bertunang, terus sahaja akad nikah. Kenduri pun hanya kenduri kesyukuran dan doa selamat. Mak bantah juga, abah? Ikut aku aje. Adik beradik semua tak kisah. Mak kata biar meriah, sekali seumur hidup. Tapi aku tak mahu, yang penting nikah kan? Pihak lelaki pun setuju dengan rancangan aku. Alhamdulillah, sekali lafaz, aku kini sah menjadi isteri kepada Muhd Firdaus bin Harun.
Upacara pembatalan air sembahyang yang paling aku berdebar. Waktu itu, saat itu adalah pertama kali kami bertentang mata. Dalam tempoh persediaan majlis iaitu 3 bulan, kami tidak pernah berbual, apatah lagi bertemu. Mak dan ibu dia yang jadi perantaraan. Mak selalu membebel, tapi aku pulak pandai bagi alasan dan mengugut jugak, ugut tak jadi kahwin. Biasalah segan dan takut nak bercakap dengan stranger!
“Aishah duduk sana, jaga diri. Nanti abah uruskan pertukaran sekolah Aishah.” Mak mula bersuara, saat itu aku dan suami sudah siap untuk pulang ke kampungnya. Selepas ini, aku akan jadi salah seorang penduduk Kampung Tempoyak, Kuala Nerang. Aku tau tempat tu, jauh di pelosok utara Kedah! Tapi aku suka kampung, pelajar-pelajar dia mesti baik dan tekun. Aku dah biasa buat latihan mengajar di kawasan kampung. Akhirnya impian nak mengajar anak-anak kampung tercapai. Yeah!
“Aishah tau mak. Mak dan abah halalkan makan minum Aishah ye, sepanjang mak abah jaga Aishah.” Aku sudah menahan air mata dari mengalir. Mak memelukku erat. Tangan abah aku salami, begitu juga dengan Firdaus dan kemudian kami memulakan perjalanan yang hanya mengambil masa 4 jam. Iye lah, aku tinggal di Tanjung Malim, Firdaus Kuala Nerang, tak jauh pun!
Sepanjang perjalanan, kami berdua hanya ditemani suara DJ radio. Dia senyap aku lagi la senyap. Walaupun aku seorang cikgu, tapi aku memang pendiam, tambah pula dengan seseorang yang baru aku kenali. Keadaan yang sepi ini seperti malam-malam sepanjang di rumahku. Waktu dengan abah dan mak serta adik-adik, dengar juga suara dia, tapi dengan aku sepi. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Kenapa? Aku tak tahu dan tak paham!
“Awak kena kahwin paksa ke dengan saya?” Aku mula bersuara. Firdaus mengelingku disebelah sekejap.
“Kenapa tiba-tiba tanya macam tu?” Suara garaunya membuat hatiku berdegup laju. Sungguh macho!
“Awak macam tak suka dengan saya. Sebab tu saya tanya macam tu.” Firdaus hanya berdiam diri. Jawab tidak, marah tidak, semua tidak. Aku mengeluh kecil. Radio aku kuatkan volumenya dan kemudian aku terus memejam mata. Tidur lagi seronok daripada senyap macam orang bisu!
Kereta yang terasa terhenti membuatkan aku terjaga daripada lena. Bunyi pintu kereta ditutup membuatkan aku terus membetulkan duduk. Sudah sampai. Aku betulkan tudungku yang senget, kemudian barulah aku keluar daripada kereta. Di tangga rumah, kelihatan ibu sudah menunggu. Ayahnya sudah 10 tahun meninggal dunia. Ibu tinggal sendiri dengan Firdaus. Dari usia 18 tahun Firdaus sudah bekerja, kerja kampung, menoreh getah, usahakan sawah, bela ayam ternak lembu kambing dan macam-macam lagi. Sebabkan perkerjaan dia tu, adik beradik semua menyoal aku banyak dan berulang kali. Abah terutamanya.
“Aishah betul terima?” Abah menyoal lagi. Kali ini waktu kami semua sedang menonton televisyen. Tadi masa berkebun depan rumah abah dah tanya. Aku berkerut dahi.
“Betullah abah, Aishah kira, dah 10 kali abah tanya, mak 9 kali along angah ateh, semua lah, asyik tanya soalan sama. Aishah terima Firdaus tu. Sepenuh hati. insyaAllah. Kenapa?” Aku menjawab penuh keyakinan.
“Aishah tahukan, dia kerja kampung, belajar takat SPM aje. Aishah ada master. Ingat tu. Sebab tu kami semua tanya, tak nak di masa depan ada masalah sebab hal ni.” Aku tersenyum dan menggeleng perlahan.
“Aishah belajar tinggi sebab suka belajar. Bukan sebab nak bezakan diri Aishah dengan orang lain. insyaAllah. Selagi dia bernama suami, tunai kewajipan sebagai suami yang baik, Aishah akan hormatkan dia. Doakan Aishah ye.” Aku memandang semua ahli keluargaku yang ada, mohon agar semua mendoakanku. Mak memelukku erat.
………………………
Semua beg pakaian aku telah siap diangkat oleh Firdaus. Ibu yang ditangga aku hampiri dan salami penuh hormat. Dahiku dikucup penuh kasih sayang.
“Penat Aishah?” Firdaus yang berada dibelakangku terus sahaja memotong jawapanku.
“Tak penat lagi, berdengkuq sepanjang perjalanan bu.” Ibu mencubit lengan Firdaus sehingga dia mengaduh sendiri. Aku mencebik.
“Tidur la, dah diam aje.” Aku merungut, ibu ketawa melihat kami berdua.
“Biaqkan dia Aishah, dia memang diam sikit. Tapi kalau dah lama-lama, banyak mulut jugak.” Aku hanya tersenyum mendengar kata ibu. Firdaus hanya menjeling tak puas hati.
Kami sampai pada jam 3.00 petang, ibu telah siapkan makan tengah hari. Selesai aku mandi dan solat, aku menelefon mak dan abah, untuk memberitahu bahawa aku telah selamat sampai di rumah Firdaus. Selepas itu, aku keluar ke dapur. Dari luar bilik, sudah kedengaran suara Ibu dan Firdaus berbual-bual. Boleh pulak bercakap, dengan aku bisu aje.
“Ha… Aishah, mari kita makan sama-sama ye. Ibu masak ikan keli sambai. Mak habaq Aishah suka?” Aku mengangguk dan terus duduk di kerusi berhadapan dengan Firdaus. Firdaus tika itu sudah diam tidak bersuara. Bisu balik!
“Suka, kalau ibu masak mesti Aishah lagi suka.” Aku cuba mengambil hati ibu mertuaku. Baru seminggu kan. Mesti tunjuk baik sikit. Firdaus mencebik.
Sepanjang waktu makan, hanya bunyi pinggan sahaja, sepi. Aku perasaan ibu memandangku dan Firdaus. Sepi. Tidak keluar sepatah pun.
“Nah, makan ulam ni Aishah, elok untuk kesihatan.” Ibu meletakkan ulam berbuas ke dalam pingganku. Alamak!
“Aishah tak makan ulam daun-daun ibu. Maaf.” Ibu mengangguk faham, tapi Firdaus tak. Dia mengambil daun berbuas lagi banyak dan terus meletakkan ke dalam pingganku, kemudian terus mencedok sambal belacan ke atas ulam. Aku memandangnya dengan pandangan terkejut.
“Dah kahwin dengan saya, duduk rumah ni, kena makan semua, tak boleh pilih.” Ibu menggeleng kepala. Aku menggenggam tangan di bawah meja. Geram! Takkan nak buang pulak? Apa kata ibu. Aku hanya mengangguk dan terus menjamah sedikit demi sedikit. Hampir terkeluar air mata menahan pahit dan pelik rasa ulam berbuas. Aku betul tak makan, bukan mengada-ngada. Ulam yang aku makan macam timun, jantung pisang, kacang kelisa, itu aje. Yang daun-daun hijau memang tak!
“Toksah makan Aishah, nak termuntah ja muka tu ibu nampak. Nak seksa bini kau ni kenapa Daus?!” Ibu menyelamatkanku, di ambil semua ulam yang berbaki. Firdaus yang selesai makan, terus sahaja bangun dan ke sinki membasuh tangan dan pinggang makannya.
“Belajaq la makan, bukan mati pun kan.” Firdaus menyindir lagi. Kenapa dia macam tak suka aku? Aku memandangnya sepi.
“Sabaqlah Aishah, Daus memang lagu tu. Angin tak kira masa, tapi dia baik. Ibu kenai dia.” Aku meneguk air perlahan dan mengangguk